Ketua Pegawai Perbankan Perniagaan Bank Rakyat, Abdul Razak Abu Bakar berkata, dana yang disumbangkan menerusi Jawatankuasa Zakat Perniagaan Bank Rakyat Bawah Asnaf (JZPBA) itu menyasarkan seramai 10 orang pelajar tempatan dan lima antarabangsa.

“Dana berbentuk biasiswa yang diberikan kepada 15 pelajar terpilih itu akan digunakan untuk menampung keperluan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda secara sepenuh masa bagi tempoh empat tahun di UIAM.

“Pemberian biasiswa itu juga bukan sahaja bertumpu untuk menyalurkan bantuan zakat kepada insan yang memerlukan sebaliknya turut berfokus membantu individu terbabit meningkatkan taraf ekonominya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menandatangani Memorandum Kerjasama (MoA) dengan UIAM dan Yayasan As-Syafie bagi program biasiswa untuk pelajar kurang berkemampuan di sini sebentar tadi.

Turut hadir Rektor UIAM, Prof. Emiritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan As-Syafie, Prof. Madya Dr. Zawawi Ismail. - K! ONLINE