Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd. Muazzam Mohamed berkata, penganjuran kempen berkenaan merupakan salah satu usaha bank itu dalam memberi penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan yang diberikan kedua-dua tenaga kerja tersebut kepada masyarakat.

“Para guru dan jururawat adalah golongan yang sentiasa memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat. Oleh itu, penganjuran kempen ini merupakan satu wadah bagi kami menzahirkan penghargaan, di samping menyediakan akses kepada produk dan perkhidmatan perbankan patuh syariah kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan akhbar sempena Majlis Penyampaian Hadiah Kempen Hari Guru dan Jururawat 2019 yang diadakan di Menara Bank Islam dekat sini hari ini.

Kempen Hari Guru dan Jururawat 2019 Bank Islam telah diadakan dari 1 April hingga 31 Julai 2019 bersempena sambutan Hari Jururawat Antarabangsa Peringkat Kebangsaan pada 12 Mei dan Hari Guru pada 16 Mei lalu.

Kempen selama empat bulan tersebut melibatkan penawaran pakej istimewa kepada para guru dan jururawat menerusi produk Pembiayaan Peribadi-i Bank Islam. Ia juga terbuka kepada barisan pensyarah, doktor perubatan dan pergigian serta pembantu perubatan.

Menurut Mohd. Muazzam, penganjuran kempen tersebut menerima maklum balas yang amat memberangsangkan dan menunjukkan pertumbuhan yang signifikan kepada Bank Islam.

“Kami telah mempromosikan produk ini secara agresif di seluruh negara dan berjaya mengunjungi 2,000 buah sekolah, 100 hospital dan 40 universiti.

“Setakat ini segmen pelanggan yang terdiri daripada guru-guru dan pensyarah telah menunjukkan peningkatan sebanyak 8.51 peratus atau RM365 juta, manakala segmen jururawat menunjukkan perkembangan 13.31 peratus atau kira-kira RM73 juta dari segi agihan pembiayaan,” jelasnnya. - K! ONLINE