Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan, Datuk Ayub Rahmat berkata, setakat 8 pagi ini, seramai 15 mangsa daripada  tiga keluarga dari Kampung Mensudut Lama berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di balai raya kampung itu.

"Kesemua mereka melibatkan 11 lelaki dan empat kanak-kanak," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ayub  berkata, 10 mangsa daripada empat keluarga dari Kampung Balai Badang pula berada di Sekolah Kebangsaan Balai Badang. Kesemuanya melibatkan enam lelaki dan wanita serta empat kanak-kanak.

Menurutnya, bacaan air Sungai Muar dekat Buloh Kasap yang berdekatan di kedua-dua kampung itu terus meningkat kepada 8.65 meter berbanding 8.61 meter malam tadi.

"Bagaimanapun keadaan banjir di Kampung Mensudut Lama mula beransur pulih dan pembersihan kediaman mangsa telah dilakukan," kata beliau.

Keadaan cuaca di Segamat buat masa ini cerah dan pemantauan di kawasan terbabit sedang dilakukan berterusan oleh pelbagai agensi dan pejabat daerah. - Bernama