Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Mejar Ismail Mahedin berkata, terdapat empat bahagian yang terjejas akibat bencana itu iaitu Kota Samarahan, Serian, Mukah dan Bintulu.

Menurutnya, bahagian Kota Samarahan mencatatkan jumlah mangsa yang tertinggi iaitu seramai 1,831 orang daripada 516 buah keluarga.

"Bahagian Serian pula merekodkan seramai 1,179 mangsa daripada 332 keluarga, diikuti Mukah, 242 mangsa daripada 73 keluarga, manakala Bintulu seramai 183 mangsa daripada 60 keluarga.

"Buat masa ini, kesemua mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara dilaporkan dalam keadaan selamat," katanya ketika dihubungi sebentar tadi. 

Sementara itu, Ismail memberitahu, sebuah laluan yang menghubungkan Sibu ke Bintulu terputus akibat dinaiki air banjir sedalam kira-kira 1.2 meter.

Katanya, keadaan itu turut mengakibatkan kesesakan yang agak teruk memandangkan laluan tersebut hanya boleh dilalui oleh kenderaan berat.

"Bagaimanapun, keadaan masih terkawal dengan trend air banjir menunjukkan penurunan di kawasan berkenaan," ujarnya lagi. - K! ONLINE