Menurut Portal Infobanjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), daerah Pekan merekodkan jumlah mangsa paling ramai dipindahkan dengan 923 orang masih ditempatkan di lapan PPS.

"Di Sekolah Sinar Mutiara Sungai Miang terdapat 416 mangsa, Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Keledang (229), SK Temai (109), Balai Raya Kampung Menchupu (65), Pusat Pemindahan Banjir Kampung Pulau Manis (48), Balai Raya Kampung Tanjung Pulai (34), SK Acheh (20) dan dua orang di Balai Raya Kampung Tebat," menurut portal itu.

Di Maran, seramai 177 mangsa ditempatkan di lima PPS iaitu SM Tengku Ampuan Afzan (28), Mini Estate Machang Gelap (68), Balai Raya Kampung Baru Pertanian (41), SK Pesagi (29) dan SK Serengkam (11).

Di Bera pula, lima PPS yang menempatkan 139 orang ialah SK Kuala Triang (69), SK Charuk Puting (24), Masjid Kampung Mengkarak (19), Masjid Kuala Bera (13) dan Balai Raya Kampung Seberang Guai (14).

Di Kuantan, hanya satu PPS yang masih dibuka iaitu di Dewan Orang Ramai Kampung Seri Damai, Kuantan menempatkan 62 orang.

Banjir di Temerloh pulih sepenuhnya dan lima sekeluarga yang ditempatkan di Surau Kampung Lompat telah dibenarkan pulang. - Bernama