Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Hilir Perak, Marlia Mohd. Belia berkata, PPS ditutup kira-kira 9.40 pagi tadi setelah semua baki 27 penduduk dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

"Hasil pemantauan mendapati air banjir telah surut sepenuhnya dan kediaman semua mangsa selamat untuk diduduki. 

"Terima kasih kepada semua agensi yang terlibat bertungkus lumus menyeliakan PPS tersebut," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Banjir di Hilir Perak melibatkan Kampung Batu 7 1/2, Kampung Batu 8 dan Kampung Batu 9 itu berpunca daripada hujan lebat pada Jumaat.

Sementara itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kampar memaklumkan, masih terdapat  14 orang daripada dua keluarga ditempatkan di PPS Dewan Orang Ramai, Kampung Kuala Dipang setakat pukul 9 pagi tadi.

"Penduduk terjejas di daerah Kampar masih belum dibenarkan pulang sehingga pihak keselamatan mengesahkan kediaman mereka selamat didiami," menurut kenyataan sekretariat berkenaan. - Bernama