Pengurus Besar (Perkhidmatan Pelanggan) TNB Terengganu, Mohd. Nazri Puteh berkata, pembinaan bangunan di tapak komersial dengan keluasan 0.971 hektar itu dijangka membabitkan kos melebihi 100 juta.

"TNB kini dalam proses pengambilan tanah di kawasan Kampung Tanjung bagi projek bangunan berkembar setinggi 19 tingkat dengan tempoh pembinaan dijangka memakan masa kira-kira 30 bulan.

"Setakat ini kita sudah berbincang dengan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk A. Rahman Yahya mengenai perkara ini dan seterusnya beliau dijangka akan berunding bersama Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar," katanya kepada pemberita pada majlis berbuka puasa bersama media Terengganu di sini Duyong Marina & Resorts semalam.

Menurut Mohd. Nazri, projek pembinaan tersebut masih di peringkat perbincangan dan sekiranya ia berjalan lancar satu memorandum persefahaman (MoU) akan ditandatangani tidak lama lagi.

"Tiada jangkaan spesifik bila pembinaan akan dimulakan kerana ia bergantung kepada perbincangan antara SUK dengan Menteri Besar. Mungkin pada tahun ini selepas MoU dimeterai," ujarnya.

Tambah Mohd. Nazri, bangunan berkembar tersebut bukan sahaja menempatkan ruang pejabat malahan kemudahan dewan persidangan, hotel serta pusat membeli-belah.
Katanya lagi, reka bentuk bangunan seumpama itu juga merupakan yang pertama bagi cawangan TNB di peringkat negeri. - K! ONLINE