Ketua Cawangan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri, Penguasa Bomba Tuan Zamani Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 4.45 pagi tadi.

"Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani dan bomba sukarela bergegas ke lokasi kejadian untuk melakukan operasi pemadaman.

"Api berjaya dikawal pada pukul 5.13 pagi dan anggaran kemusnahan bangunan dua tingkat itu adalah 80 peratus," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, bangunan tersebut merupakan asrama pelajar perempuan.

"Semasa kejadian bangunan itu tidak berpenghuni kerana kesemua pelajar dan guru sedang bercuti," ujarnya.

Tambahnya, jumlah pelajar yang menduduki asrama berkenaan adalah seramai 21 orang.
"Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan," katanya. - K! ONLINE