Pengarah Jabatan Perikanan Labuan, Faizal Ibrahim Suhaili berkata, seorang penyelidik perikanan dari Rantau Abang di Terengganu mengesahkan bahawa ikan lumba-lumba itu, dengan nama saintifik Orcaella brevirostris, adalah spesies ikan lumba-lumba euryhaline yang hidup dalam subpopulasi berhampiran pinggir laut dan di dalam muara sungai di beberapa kawasan di Pulau Pinang, beberapa negeri di Semenanjung dan Sabah serta Sarawak.

Beliau berkata, ikan lumba-lumba sepanjang 2.5 meter dengan berat 80kg itu telah mati selama lebih 72 jam pada hari bangkainya dijumpai dan kematian mamalia itu berpunca daripada sebab semula jadi.

"Ini bukan kali pertama bangkai hidupan laut seperti ini terdampar di pantai. Pada 2015, dua ekor ikan paus pilot sirip pendek (Globicephala macrorhynchus- daripada keluarga ikan lumba-lumba) dijumpai terdampar di sebuah pantai berhampiran di sini," kata Faizal.

Mengenai ikan lumba-lumba yang dijumpai mati baru-baru ini, sebelum keputusan ujian makmal diperoleh, sebab kematian haiwan terus menjadi misteri dan ia dipercayai telah mati sekurang-kurangnya tiga hari sebelum bangkainya terdampar di pantai.

Kebanyakan penduduk tempatan menyangkakan ia merupakan dugong raksasa, manakala ada juga yang menyatakan pandangan menerusi media dalam talian bahawa ia mungkin sejenis hidupan lain.

Penemuan itu dikatakan pada mulanya membingungkan pakar marin di seluruh Labuan, bagaimanapun Pengarah Jabatan Veterinar Labuan, Dr. Marysia James Abie berkata, berdasarkan bentuk kepalanya, haiwan itu jelas merupakan ikan lumba-lumba.

"Saya tidak fikir haiwan ini hidup di dalam perairan kita. Kemungkinan besar, haiwan ini dibawa oleh arus yang panas," katanya.

Seorang orang awam terjumpa bangkai haiwan itu di pinggir pantai yang popular pada pagi Rabu lalu dan segera memaklumkannya kepada Jabatan Perikanan.

Status Ikan Lumba-lumba Empesut itu ditingkatkan daripada mudah terjejas kepada terancam berikutan jumlahnya semakin berkurangan sejak lebih 60 tahun lepas disebabkan aktiviti manusia, menurut Senarai Merah Spesies Terancam Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula jadi. - Bernama