Seorang penduduk kampung yang mahu dikenali sebagai Hardy berkata, bangkai reptilia itu ditemui hanyut kira-kira pukul 4 petang kelmarin.

Bagaimanapun katanya, berikutan penemuan bangkai buaya itu, ramai penduduk mendakwa bilangan reptilia tersebut semakin banyak di Sungai Limbang.

“Ini bukanlah kali pertama penduduk melihat kelibat buaya itu. Sebelum ini mereka pernah melihat beberapa ekor reptilia itu yang berkeliaran mahupun bersantai di tepi sungai.

“Penduduk tidak menolak ada banyak lagi buaya yang mendiami sungai ini kerana sudah banyak kali penduduk menyaksikan reptilia itu berkeliaran di Kampung Kelapa Mawar ke Kampung Merambut,” katanya ketika dihubu­ngi semalam.

Mengulas lanjut, tambah­nya, hampir setiap hari haiwan itu boleh dilihat kemunculannya di sungai tersebut.

Pada 3 September tahun lalu, seekor buaya dengan berat sekitar 1,000 kilogram dan panjang lebih lima meter ditemui sesat di tengah bandar Limbang di sini.

Ketika itu, anggota bomba mengambil masa sekitar 30 hingga 40 minit bagi menangkap sang bedal yang ditemui di atas jalan raya.