Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, suspek lelaki berusia 30-an nekad melompat dari van yang dipandu polis sebelum lolos ke kawasan semak berhampiran.

Difahamkan suspek yang dibawa dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kunak dekat sini membuka pintu belakang van ketika melalui bulatan berhampiran mahkamah.

Suspek rakyat tempatan dibawa ke mahkamah untuk sebutan kes mengikut Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata 1958.

Ketika kejadian, suspek telah digari bersama seorang lagi banduan bagaimanapun, banduan tersebut tidak melarikan diri.

Menurut sumber, polis pengiring segera memberhentikan kenderaan dan mengejar suspek.

Malangnya, suspek telah menghilangkan diri di kawasan semak di sekitar lokasi kejadian.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Razarudin Husain mengesahkan kejadian. - K! ONLINE