Bagaimanapun, Zii Jia merupakan seorang yang sangat bertimbang rasa apabila enggan terlalu ghairah meraikan kejayaan sulung dalam kariernya itu meskipun ia adalah gelaran ditunggu-tunggunya selama ini.

Sebaliknya, pemain ber­usia 20 tahun itu menghormati situa­si suram sukan badminton negara susulan kehilangan rakan seperjuangan, Tan Chee Tean yang meninggal dunia selepas terbabit dalam kemala­ngan jalan raya di selatan Brno, Republik Czech baru-baru ini.

Pada masa sama, anak kelahiran Alor Setar, Kedah ini turut prihatin dengan situasi menimpa jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei yang menjalani rawatan kanser hidung di salah sebuah hospital di Taiwan sejak dua bulan lalu.

Bagaimanapun, satu khabar gembira buat seluruh negara apabila Chong Wei yang merupakan bekas pemain No. 1 dunia sudah dikatakan pulih dan pulang ke Malaysia kelmarin.

Namun harus diingatkan, tiada jaminan bahawa pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik itu kembali ke gelanggang dengan prestasi seperti sebelum ini meskipun sudah pulih sementelah usianya juga sudah meningkat 36 tahun.

Para peminat tidak boleh lagi bergantung harap kepada Chong Wei untuk beraksi menentang pemain muda seperti Kento Momota, jaguh No. 1 du­nia dari Jepun berusia 24 tahun.

Jika Chong Wei berjaya menggegarkan semula gelanggang dunia selepas ini, maka ia merupakan satu bonus tetapi Malaysia tidak boleh memberi tekanan atau terlalu bergantung kepadanya lagi pada kejohanan-kejohanan besar.

Tidak dinafikan, penangan Chong Wei sangat luar biasa kerana pernah menundukkan Momota pada Terbuka Malaysia, Jun lalu sebelum jaguh perseorangan negara itu dikesan menghidapi kanser hidung.

Justeru, tumpuan seharusnya dialihkan kepada Zii Jia selain seorang lagi prospek, Leong Jun Hao untuk dibentuk, dilatih dan dipersiapkan bagi menghadapi saingan lebih berprestij serta lawan berkelas dunia.

Pada penulis, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) perlu agresif menangani situasi kali ini dalam melahirkan mereka sebagai jaguh sepanjang zaman dan bukan sekadar peranca­ngan di atas kertas mahupun agenda dalam mesyuarat.

Tidak dinafikan, BAM menggariskan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan pembangunan sukan badminton negara termasuk salah satunya mewujudkan pengarah kejurulatihan.

Sebenarnya, persatuan perlu melantik lebih ramai jurulatih berpengalaman untuk me­ngendalikan bakat-bakat muda di Akademi Badminton Negara (ABM) di Bukit Kiara, bukan hanya dua tiga kerat yang terpaksa bertanggungjawab kepada semua pemain di ABM.

Bagi melahirkan bintang, perlu ada jurulatih khusus yang memberi fokus terhadap pres­tasi, statistik, taktikal, kecergasan dan latihan.

Bukan sekadar jurulatih biasa, tetapi individu yang benar-benar terbukti dalam mengaplikasikan sains sukan sebagai teras dalam latihan, pemakanan, kecergasan, fizikal, mentaliti serta daya juang.

Jika perlu mendapatkan jurulatih import, maka BAM perlu menyediakannya kerana bintang baharu seperti Zii Jia harus mempunyai jurulatih khusus jika mahu melihat muncul bintang sehebat Chong Wei.

Secara peribadi, penulis mendapati pemain muda dilihat kurang cergas dan tiada kelasakan stamina selain permainan kurang dinamik dan kreativiti bahkan kurang keyakinan diri.

Penulis sedar, mungkin mereka kekurangan pengalaman dalam mengharungi kejohanan besar, jadi gugup ketika melangkah ke gelanggang pasti ada, namun ia perlu diatasi.

BAM patut lebih berani menghantar Zii Jia pada kejohanan kelas A yang disertai pemain berkelas dunia se­perti Momota, Shi Yuqi, Victor ­Axelsen, Chou Tien Chen, Chen Long, Kidambi Srikanth, Son Wan Ho dan Lin Dan.

Tidak mengapa jika kalah kerana apa yang penting adalah pemain negara meraih pendedahan pada kejohanan besar dan pengalaman itu akan menjadi jurulatih paling hebat untuk mereka.

Siapa akan jangka jika Zii Jia bakal mencipta dinasti sendiri pada suatu hari nanti seperti apa yang dilakar Chong Wei sejak debut pada tahun 2002.

Justeru, BAM perlu lebih agresif kali ini dalam melahirkan bintang masa depan sukan badminton negara.