Manisah Othman, 55, balu kepada Allahyarham Amirudin Mohd. Baria yang merupakan bekas setiausaha sulit Najib itu berkata, kesemua cek tersebut diterima sebanyak RM9,360 pada tahun 2013, diikuti RM29,520 pada 2014 dan RM13,800 pada tahun 2015.

Manisah dalam keterangannya berkata, Najib telah berjanji untuk membiayai pembelajaran kedua-dua anak lelakinya berusia 23 dan 27 tahun itu semasa bekas Perdana Menteri tersebut melawat arwah suaminya di Hospital Prince Court.

"Namun Najib tidak mengatakan secara spesifik jumlah yang akan diberi namun berjanji akan membantu membiayai pelajaran anak-anak saya dan Alhamdulilah dia (Najib) mengotakan janjinya," katanya.

Beliau berkata demikian selepas pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi pada hari ketujuh perbicaraan kes Najib atas tujuh pertuduhan penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. bernilai RM42 juta di hadapan Hakim Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali di sini hari ini.

Terdahulu, Manisah dalam keterangannya berkata, arwah suaminya yang meninggal dunia kerana kanser usus pada 21 Jun 2013 menjadi setiausaha sulit Najib ketika beliau menjadi Menteri Pendidikan.

Namun, apabila Najib menjadi Menteri Pertahanan arwah suaminya kemudian berpindah kerja ke sebuah syarikat iaitu Boustead Holdings Berhad.

"Arwah kemudian dipanggil balik untuk bekerja dengan Datuk Seri Najib selepas Datuk Seri menjadi Timbalan Perdana Menteri," katanya.

Dalam prosiding sama, ketika ditanya peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib, adakah sebarang aku janji berhubung bantuan pembiayaan pembelajaran anak-anaknya, saksi itu menjawab tiada.

Sebaliknya, Najib memberitahu akan mengotakan janji-janjinya untuk membantu. - K! ONLINE