Setelah hampir sebulan menjalani ibadah puasa bulan Ramadan, pastinya pelbagai ujian telah kita hadapi. Bukan setakat menahan makan dan minum pada siang hari, malah pelbagai dugaan perlu ditempuh dalam dunia yang penuh pancaroba ini.

Buat yang telah selamat tiba di kampung untuk berhari raya, tahniah diucapkan. Memang sudah menjadi rezeki anda dapat bercuti awal untuk menyambut akhir Ramadan bersama kaum keluarga dan sanak saudara tersayang.

Bagi penulis, salah satu ujian terakhir Ramadan ialah perjalanan pulang ke kampung halaman. Balik kampung memang suatu perkara yang menyeronokkan, tapi prosesnya jelas bukan mudah.

Sekiranya pada keadaan biasa perjalanan menaiki kereta hanya memakan masa enam jam, pada saat-saat menje­lang Aidilfitri ia boleh menjadi 12 hingga 18 jam. Hal ini terutamanya disebabkan pertambahan bilangan kenderaan di atas jalan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan baru-baru ini mendedahkan sebanyak sejuta kenderaan dijangka masuk ke negeri tersebut menjelang 5 Jun ini.

Pulang menaiki pengangkutan awam pun bukan mudah. Ia me­libatkan kos yang agak signifikan, lebih-lebih lagi bagi mereka yang sudah berkeluarga.

Ada yang merungut bahawa tiket penerbangan dari Kuala Lumpur ke Fukuoka, Jepun lebih murah pada musim pe­rayaan ini berbanding ke Tawau, Sabah yang jaraknya jauh lebih dekat.

Begitu juga bagi yang memandu sendiri untuk pulang ke kampung, ujian yang dihadapi memang berat tambahan pula melibatkan perjalanan jauh. Ditambah sekiranya membawa anak kecil, pastinya sukar malayan kerenah mereka di dalam kenderaan. Satu lagi cabaran ketika memandu ketika musim perayaan ini adalah mencari tempat untuk berhenti berehat.

Pengarah Eksekutif Safe Kids Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Prof. Madya Dr. Kulanthayan KC Mani menasihatkan pemandu kenderaan supaya berhenti rehat selepas empat jam memandu tanpa henti.

Jelasnya, tumpuan pemandu akan berkurangan sekiranya meneruskan pemanduan berterusan melebihi tempoh tersebut.

Ya, bukan mudah mencari tempat berhenti rehat terutamanya jika terperangkap dalam kesesakan lalu lintas, namun ia merupakan satu keperluan yang penting bagi menge­lakkan kejadian terlelap semasa memandu atau microsleep.

Meskipun sudah hampir sebulan menjalani tarbiah Ramadan, ujian-ujian sebegini sememangnya menguji iman dan kesabaran. Bagaimanapun sebagai pengguna jalan raya, kita mempu­nyai tanggungjawab untuk memandu secara berhemah dan selamat.

Segala ujian dan cabaran yang berpotensi timbul mampu dikurangkan menerusi perancangan perjalanan yang bijak.

Bagi menambah motivasi untuk memandu secara lebih berhemah, penulis menyarankan pemandu memuat naik DriveMark, iaitu aplikasi te­lefon pintar yang dibangunkan oleh syarikat tempatan dan menggunakan teknologi telematik bagi mengesan corak pemanduan sama ada selamat atau tidak.

Antara yang dinilai adalah cara-cara pemandu mengambil selekoh dan sama ada pemandu memandu secara berbahaya sebelum memberi skor yang berpadanan dengan corak pemanduan. Apa yang menarik ialah pemandu yang memiliki skor yang baik berpeluang menerima pelbagai ganjaran.

Antara ganjaran yang ditawarkan ialah baucar bahan api, tol dan Touch ‘n Go sehingga bernilai RM1,000.

Selain itu, pengguna DriveMark yang memiliki skor yang baik juga berpeluang mendapat diskaun untuk memperbaharui insurans kenderaan sehingga 15 peratus dengan Etiqa Insurance dan Takaful atau Allianz.

Buat yang tidak pulang ke kampung atas tuntutan pekerjaan atau ‘terpaksa’ pulang ke kampung halaman pasangan, jangan pula bersedih hati.

Anggap sahaja ini satu lagi ujian Allah kepada hamba-Nya pada hujung-hujung Ramadan ini. Hari Raya Aidilfitri ialah hari kemenangan, ia sepatutnya diraikan dengan perasaan gembira dan penuh kesyukuran.