Aksi cemerlang dan tangkas anggota dari balai bomba tersebut yang meraih emas bagi kategori Farex Ultimate dan Farex Confine itu berjaya mengetepikan saingan daripada enam pasukan lain.

Dalam pertandingan yang diadakan di BBP Tapah semalam, enam balai bomba di bawah Zon 4 mengambil bahagian iaitu BBP Tapah, BBP Bidor, BBP Slim River, BBP Tanjung Malim, BBP Teluk Intan dan BBP Hutan Melintang.

Majlis penyampaian hadiah pertandingan berkenaan disempurnakan oleh Ketua Zon 4 JBPM Perak, Khairil Adli Zakaria yang turut dihadiri Penolong Pengarah Bahagian Latihan JBPM Perak, Muhamad Sharizal Aris.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bidor, Muhammad Asyraf Mat Isa berkata, kemenangan pasukannya itu diraih menerusi Mohammad Shafifi Mazlan dalam kategori Ultimate dan Mohd. Izzat Abdul Hamid pula bagi kategori Confine

Katanya, kemenangan itu membolehkan pasukannya mewakili Zon 4 untuk berentap pada pertandingan di peringat negeri yang dijangka berlangsung hujung bulan ini.

"Kejayaan anggota dalam pertandingan ini adalah hasil daripada latihan berterusan bagi memastikan mereka dapat mempamerkan aksi terbaik semasa berdepan pasukan lawan.

"Malah, bagi menghadapi pertandingan seterusnya di peringkat negeri nanti, kita berharap stamina anggota berada di tahap terbaik termasuk menggunakan pelbagai strategi dan taktikal untuk meraih kemenangan," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai pertandingan tersebut, Muhammad Asyraf berkata, pertandingan yang julung kali diadakan bagi Zon 4 itu disertai oleh 35 pegawai daripada enam buah balai.

Katanya, tiga kategori dipertandingkan iaitu Farex Ultimate, Farex Confine dan Farex Rapid yang setiap satunya menguji tahap kompetensi dan kecekapan warga bomba.

"Pertandingan ini diadakan bagi menilai tahap kompetensi dan kecekapan anggota serta pasukan dalam bidang operasi kebombaan yang merupakan perkhidmatan teras jabatan.

"Selain itu, ia juga bertujuan meningkatkan lagi semangat kerjasama dan persefahaman dalam kalangan anggota sekali gus menambahkan daya saing dan ketahanan diri mereka," katanya. - K! ONLINE