Tidak ada siapa yang tahu kita pangkah apa. Kalau kertas undi itu dirosakkan pun tidak ada siapa yang peduli.

Malah tidak ada tindakan undang-undang akan diambil ke atas pengundi itu.

Lepas keluar dari pusat mengundi, kita boleh buat kerja seperti biasa. Ke restoran mamak menjamu selera dengan rakan-rakan baik, misalnya.

Malam 9 Mei kita ramai-ramai ke restoran mamak sekali lagi, kali ini bukan menonton bola sepak layar besar.

Malam itu kita mungkin sampai awal pagi mengikuti  dengan penuh debaran keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 yang disifatkan sebagai ‘bapa segala pilihan raya’ yang akan menentukan masa depan agama, bangsa dan negara.

Apa jua keputusan pada tengah malam 9 Mei atau awal pagi 10 Mei bermula daripada kita yang membuang undi pada pagi hari itu.

Meskipun proses mengundi itu mudah, tapi kesannya amat besar kalau kita tersilap pilih dan pangkah. Justeru itu, kepada anak-anak muda dan yang pertama kali mengundi terutamanya, jangan anggap hari mengundi itu satu pesta tambahan pula pada hari itu diberikan cuti umum.

Berjuta-juta pengundi kena faham, di tangan merekalah terletaknya nasib dan masa depan berjuta-juta lagi rakyat Malaysia dari Perlis sampailah ke Sabah dan Sarawak yang tidak berpeluang mengundi memilih kerajaan.

Jangan dipersia-siakan harapan berjuta-juta rak­yat lagi itu. 

Fikirlah semasak-masak­nya. Jangan tergoda dengan hasutan dan dakyah-dakyah songsang yang mengeliru lagi menyesatkan.

Musim pilihan raya ini bermacam-macam ‘drama 5 tahun’ sekali dipertontonkan untuk menagih simpati pengundi.

Musim pilihan raya ini juga beraneka fitnah berterbangan sana sini untuk memerangkap serta memesongkan pengundi.

Sekali termakan jerat, alamat 5 tahunlah sengsara dibuatnya.

Hari 9 Mei hari rakyat Malaysia. Keluarlah beramai-ramai dan banjirilah pusat membuang undi bermula awal pagi lagi.

Satu undi anda amat bernilai. Ia  boleh menentukan jatuh bangun seseorang calon, kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan.

Jangan anggap satu undi anda itu tidak  akan membawa sebarang makna serta pengertian.

Hargailah undi anda. Sayangilah undi anda. Gunakanlah peluang  5 tahun sekali itu pada  pagi 9 Mei sebaik-baik mungkin.

Meskipun tidak ada orang yang tahu haluan pangkah anda, tetapi jangan sampai pada pagi 10 Mei, ramai pengundi yang menyesal kerana tersilap memilih dan memangkah.

Pada ketika itu, kalau menangis air mata darah sekali pun tidak akan berguna. Nasi sudah menjadi bubur.

Kata orang, terlajak perahu boleh diundur terlajak pangkah kertas undi, alamat  sengsara berbulan-bulanlah jawabnya pe­ngundi serta rakyat nanti.