Pengusaha makanan tradisional Cina, Nur Lisa Hoo, 54, berkata, dia bersama adiknya, Cindy Mysara Hoo, 51, mengambil masa tiga jam untuk merebus bakchang yang menggunakan beras pulut sebagai kandungan utama.

Nur Lisa berkata, kebiasaannya masyarakat Cina menggunakan daging khinzir dalam bakchang tetapi dia telah menggantikannya dengan ayam atau daging lembu.

"Resepi saya gunakan adalah beras pulut, ayam, cendawan, buah berangan dan juga telur masin yang diambil hanya bahagian kuningnya.

"Bahan-bahan ini perlu dimasak atau digoreng secara berasingan dan digaul dengan rempah ratus sebelum dibungkus bersama pulut dalam daun buluh dan direbus.

"Kami sengaja hidangkan bakchang supaya orang lain dapat rasa, kebetulan bulan Syawal ini jatuh pada bulan enam mengikut kalendar Cina iaitu bertepatan dengan musim perlumbaan perahu naga," katanya ketika ditemui di gerai juadah masakan Cina dalam majlis raya itu.

Dalam majlis itu, gerai dua beradik mualaf ini telah dinobat sebagai gerai terbaik diikuti gerai makanan Myanmar dan gerai Sarawak.

Selain bakchang, dua wanita cantik ini turut menghidangkan mi kolo, kuih koci dan kuih angku yang bermaksud kura-kura merah iaitu sejenis kuih berinti kacang hijau.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud berkata, majlis hari raya itu yang diadakan di pekarangan bangunan Jameiah Al Asriah yang terletak di pusat bandar ini adalah acara tradisi yang diadakan setiap tahun.

"Kita jemput kawan-kawan bukan beragama Islam yang tinggal dan menjalankan perniagaan tengah bandar ini menyambut hari raya bersama.

"Dalam Islam kita perlu berbuat baik kepada semua orang malah dalam hadis Rasulullah SAW pernah menyebut bahawa sesiapa yang menyakiti ahli zimmi (orang bukan Islam) seumpama menyakiti baginda sendiri," katanya. - K! ONLINE

Kuih kura-kura merah atau 'angku' antara hidangan dalam Majlis Mesra Aidilfitri anjuran bersama Jhea
Kuih kura-kura merah atau 'angku' antara hidangan dalam Majlis Mesra Aidilfitri anjuran bersama Jheaik dan Majlis Agama Islam dan Maik di Kota Bharu hari ini.