Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Azhar Azizan Harun berkata, semakan awal dilakukan untuk memastikan semua bakal calon mengisi borang tersebut dengan betul, menepati syarat dan kelayakan yang ditetapkan bagi mengelakkan berlakunya kesilapan pengisian borang.

Jelasnya, langkah itu dapat menjamin proses penamaan calon pada hari penamaan calon berjalan lancar dan mengikut tempoh masa yang ditetapkan. 

“Semakan itu juga dapat memberi peluang kepada parti-parti yang calonnya didapati tidak layak semasa semakan awal untuk membuat persiapan sewajarnya sebelum hari penamaan calon.

“Bagaimanapun, kertas penamaan calon yang telah lengkap diisi dan disemak hendaklah dikemukakan oleh bakal calon, penyokong atau pencadangnya kepada Pegawai Pengurus semasa hari penamaan calon,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Azhar, bakal-bakal calon digesa untuk membuat pembayaran deposit iaitu deposit pilihan raya dan deposit bahan kempen lebih awal. 

Tambahnya, mereka turut diminta untuk mengambil pas-pas calon, pencadang dan penyokong selepas bayaran deposit dibuat bagi tujuan kebenaran memasuki pusat penamaan calon. - K! ONLINE