Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, Eremi Paing, 47, bersama isteri serta empat anaknya sedang nyenyak tidur di dalam bilik masing-masing rumah pusaka peninggalan keluarga.

Menurutnya, kebakaran itu disedari selepas terhidu bau asap sebelum mengejutkan isteri dan anak-anak bagi menyelamatkan diri daripada kejadian tidak diingini.

"Dalam kebakaran itu, hanya motosikal dan sebuah kereta dapat diselamatkan kerana kedua-dua kuncinya berada dalam rumah di bahagian dapur.

"Semalam, kami sekeluarga baru sahaja membeli pakaian dan kelengkapan lain untuk anak-anak di sebuah pasar raya di bandar Benut,” ujarnya ketika ditemui di sini hari ini.

Eremi berkata, tiada apa yang dapat diselamatkan termasuk pakaian dan kelengkapan bagi menyambut hari raya apabila hangus semuanya dan mereka menerima dugaan besar pada penghujung Ramadan ini.

Katanya, dia dan sekeluarga menerima kejadian itu dengan penuh reda dan menerima ketentuan Allah ketika umat Islam membuat persiapan untuk menyambut 1 Syawal.

Eremi yang berkerja di sebuah kilang di Simpang  Renggam berkata, keluarganya kini menumpang sementara di rumah jiranya di kampung itu dan akan mencari rumah baharu selepas hari raya nanti.

Ditanya mengenai punca kebakaran tersebut, dia hanya menyerahkan kepada pihak bomba untuk menjalankan siasatan.

Orang ramai yang ingin menyumbang bagi meringankan beban mangsa boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank 1012 0856 3599 atas nama Eremi Paing atau boleh dihubungi melalui talian 01118533157 atau 0197407660. - K! ONLINE