Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, ini kerana majoriti penjawat awam di bandar-bandar besar seperti Lembah Klang, Johor dan Selangor menghadapi kos sara hidup yang tinggi dan membebankan mereka.

"Kerajaan wajar memberi keutamaan terhadap kebajikan penjawat awam yang banyak memberi sumbangan terhadap kemajuan negara," katanya kepada pemberita selepas kunjung hormat ke atas Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man di pejabat Menteri Besar di Kompleks Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata kerajaan tidak terikat dengan KGT yang dijanjikan pentadbiran terdahulu walaupun melihat KGT secara positif sama ada penjawat awam berhak diberi elaun tambahan atau bantuan dalam bentuk lain.

Mahathir juga mengumumkan peruntukan Bajet 2019 lebih kecil berbanding sebelum ini termasuk memotong bantuan sara hidup berperingkat-peringkat kerana ekonomi negara tidak memberangsangkan.

Azih berkata Bajet 2019 nanti tidak harus mengenepikan hak penjawat awam.

Beliau berharap kerajaan mengkaji harga rumah khususnya untuk penjawat awam sebagai insentif serta membantu mengekang kenaikan harga rumah yang terlalu tinggi agar mereka mampu memiliki rumah sendiri sebelum bersara. - Bernama