Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata negara harus bersedia menghadapi sebarang kemungkinan berhubung isu berkenaan.

"Saya yakin, sebagai Menteri Pertahanan, apa jua arahan daripada Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera, Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V, akan terus kami junjung.

"Panglima Angkatan Tentera (Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor) dan ATM pastinya sudah siap siaga," kata Hishammuddin dalam ucapan pengulungan Naib Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Beliau berkata tindakan Amerika Syarikat mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel merupakan tamparan hebat bagi seluruh dunia Islam.

"Awal minggu ini, kita dikejutkan dengan berita yang sangat membimbangkan berhubung kestabilan geo-politik dunia. Marilah kita berdoa dan terus berdoa agar konflik ini tidak membawa ke ambang kemusnahan," katanya.

Dalam masa sama, Hishammuddin turut memohon para perwakilan untuk berdiri dan memberi tepukan gemuruh sebagai menunjukkan penghargaan kepada para perajurit negara, yang disifatkannya sebagai perwira tidak didendang, dalam mempertahankan negara.

Beliau berikrar selagi menyandang jawatan Menteri Pertahanan, dengan sokongan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, usaha membela kebajikan tentera dan veteran serta keluarga mereka akan terus dilaksanakan.

"Kedaulatan negara bukan hanya mengenai kecanggihan dan kelengkapan aset serta teknologinya, tetapi ia juga banyak bergantung kepada kesanggupan para perajurit yang berkorban jiwa dan raga. 

"Kami di Kementerian Pertahanan percaya bahawa anggota tentera kita mampu melakukannya apabila mereka mengetahui keluarga yang ditinggal terjaga dan terbela," katanya. - Bernama