Kunjungan itu adalah atas tugasan yang diberikan untuk melakukan tinjauan lokasi bagi penganjuran sebuah program rekreasi yang akan dilaksanakan oleh akhbar ini tidak lama lagi.

Dari Ringlet, perjalanan menuju ke Pos Lemoi adalah sejauh kira-kira 20 kilometer dan hanya boleh diakses menggunakan kenderaan pacuan empat roda selain motosikal.

Sepanjang perjalanan ke Pos Lemoi, boleh dikatakan kira-kira 90 peratus daripada laluannya yang hanya selebar sebuah kenderaan telah diturap menggunakan konkrit, namun ada antaranya yang sudah rosak dan berlubang menyebabkan ia tidak boleh dilalui oleh kenderaan biasa terutamanya kereta.

Menempuh perjalanan selama sejam 30 minit menempuh kawasan kebun sayur dan bunga-bungaan selain kawasan hutan yang sunyi, penulis akhirnya tiba di Pos Lemoi dengan panda­­ng­an pertama bertumpu kepada deretan rumah dan sebuah surau kecil yang dibina menggunakan kayu dan buluh selain bangunan sekolah rendah yang disediakan oleh kerajaan.

Walaupun sudah terdedah dengan arus kemo­denan, namun kehidup­an penduduk Orang Asli Semai di situ masih dikekalkan termasuklah amalan berburu atau berkebun.

Namun, apa yang membuatkan penulis berasa kagum adalah cara mereka melayani pe­ngunjung luar.

Orang pertama yang penulis temui ialah seorang pemuda bernama Wadi, 21, yang ketika itu sedang duduk berehat bersama dua kanak-kanak di tepi sebuah rumah.

Tanpa kekok, Wadi melayani setiap pertanyaan kami dengan baik. Dengan bantuan Wadi juga, penulis dapat bertemu dengan beberapa lagi penduduk kampung berkenaan bagi melengkapkan maklumat yang diperlukan.

Malah, Johar dan Zali yang merupakan rakan Wadi turut mempelawa penulis mengikuti mereka untuk mandi dan menangkap ikan di sebatang sungai yang terletak berhampiran kampung tersebut walaupun baru berkenalan beberapa jam sahaja.

Selain kebaikan yang ditunjukkan tiga sahabat itu, penulis juga kagum dengan kesungguhan seorang lagi penduduk, Johari, 50-an yang ditemui ketika sedang membersihkan kawasan belukar dan hutan buluh di tepi sebatang sungai.

Katanya, dia membersihkan kawasan itu untuk dijadikan sebuah kawasan rekreasi agar boleh dikunjungi oleh pelawat luar.

Jelasnya lagi, dia mahu orang luar datang ke Pos Lemoi dan menikmati keindahan kawasan itu khususnya Sungai Gerji yang mengalirkan air yang jernih dan masih terpelihara daripada sebarang pencemaran.

Walaupun penulis ha­nya sempat berkunjung ke perkampungan Orang Asli itu dalam tempoh yang singkat, namun ada perkara positif yang telah penulis kutip untuk dijadikan teladan.

Jangan kerana mereka Orang Asli yang tinggal di pedalaman kawasan hutan, kita melabelkan mereka sebagai kolot dan menolak kehadiran masyarakat luar, apatah lagi kemodenan.

Nasihat penulis, janganlah kita menaruh pelbagai prasangka negatif kepada mereka kerana banyak perkara yang jika diban­dingkan, mereka sebenarnya memiliki sesuatu yang tiada dalam diri kita.

Jika berpeluang, berkunjunglah ke mana-mana perkampungan Orang Asli dan kutip­lah sebanyak mungkin perkara positif yang diperoleh untuk dijadikan pengalaman hidup kita di bandar.