Bagi mereka yang gemar ‘mekap’ kenderaan, inilah masa yang ditunggu-tunggu untuk memasang cermin gelap agar kereta kelihatan seperti milik orang-orang kenamaan.

Golongan wanita juga pasti gembira kerana penggunaan cermin gelap menyukarkan penyamun mengintai barangan berharga yang ditinggalkan di dalam kenderaan mereka.

Tauke-tauke kedai aksesori kenderaan juga tersenyum lebar dengan pelaksanaan dasar baharu cermin gelap ini, tambahan pula ia diumumkan menjelang musim perayaan.

Pastinya keuntungan yang diperoleh tauke-tauke tersebut berlipat kali ganda apabila ramai pemilik kenderaan akan menukar atau memasang cermin gelap yang dianggarkan berharga RM300 bagi sebuah kereta seperti Perodua Myvi.

Di bawah peraturan baharu yang dikuatkuasakan pada Rabu lalu, cermin belakang dan cermin sisi belakang bahagian penumpang kenderaan persendirian dibenarkan gelap sepenuhnya berbanding sebelum ini yang ditetapkan pada kadar 30 peratus penembusan cahaya.

Cuma peraturan sedia ada bagi cermin hadapan serta cermin sisi bahagian pemandu kekal pada kadar 70 dan 50 peratus.

Bagaimanapun, orang ramai perlu mengetahui perbezaan filem gelap yang ada di pasaran kerana kadar kegelapan sepenuhnya tidak semestinya mampu mengurangkan kepanasan dalam kenderaan. Tiada gunanya memasang filem gelap yang murah harganya tetapi tidak mampu menyejukkan kabin kenderaan, hanya sekadar untuk mencantikkan kereta.

Filem yang terbaik adalah mampu menapis kemasukan cahaya matahari, haba daripada sinaran radiasi inframerah dan radiasi ultraungu walaupun ia bukannya gelap sepenuhnya.

Namun di sebalik kegembiraan ini, keputusan popular yang diumumkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook pada Selasa lalu itu nampaknya tidak menggembirakan Polis Diraja Malaysia kerana menyukarkan tugas penguatkuasaan pasukan keselamatan tersebut.

Malah, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Azisman Alias terkilan apabila polis tidak dipanggil bagi membincangkan peraturan baharu tersebut.

Kenyataan bos trafik Bukit Aman itu mencetuskan polemik, kurang 12 jam selepas pengumumannya dibuat menteri, namun suka atau tidak, dasar cermin gelap telah dilaksanakan.

Selepas ini polis mungkin terpaksa mengarahkan setiap pemandu kenderaan menurunkan cermin belakang bagi tujuan pemeriksaan ketika melakukan operasi jenayah menerusi sekatan jalan raya. Pastinya akan mengundang kesesakan lalu lintas yang teruk.

Lebih menakutkan jika berlaku kes culik, bunuh dan rogol. Polis dan orang awam sudah tentu sukar untuk melihat mangsa yang berada ketakutan di dalam kenderaan yang dipasang cermin gelap.

Pada Rabu lalu, polis dilaporkan memburu beberapa individu yang menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Vellfire selepas melarikan diri ketika cuba diperiksa di Jalan Pudu, Kuala Lumpur pada pukul 5.20 petang.

Setakat ini polis masih belum dapat memastikan jumlah suspek yang berada di dalam MPV terbabit ketika kejadian hanya di­sebabkan MPV itu menggunakan cermin gelap.

Ini adalah satu contoh kes terbaharu yang dibimbangi sesete­ngah pihak mengenai kemungkinan meningkatnya kadar jenayah berikutan penggunaan cermin gelap sepenuhnya yang mungkin mesra penjenayah.

Bagaimanapun, Anthony Loke kelmarin menegaskan, peraturan baharu cermin gelap itu dikekalkan setelah kementeriannya mengambil kira segala faktor termasuk dari aspek jenayah.

Kenyataan terbaharu itu nampaknya tidak akan berlaku pusingan U dalam pelaksanaan cermin gelap seperti yang banyak berlaku sebelum ini melibatkan dasar atau program lain kerajaan.