Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan, Norhazni Mat Sari berkata, punca pencemaran itu dikenal pasti selepas pihaknya melakukan siasatan dan menjejaki sumber pencemaran sungai berkenaan. 

"Pencemaran ke atas sungai ini sepanjang lapan kilometer. Pelepasan air warna biru dari kilang itu daripada aktiviti mencuci plastik. Kami telah mengarahkan kilang itu melakukan kerja-kerja penyedutan serta pembersihan. 

"Kerja-kerja tersebut telah selesai dilakukan pagi ini dan pencemaran warna di sungai berkenaan telah diatasi sepenuhnya," katanya ketika ditemui Kosmo! selepas melakukan pemeriksaan di Sungai Simin dekat sini hari ini. 

Semalam, satu rakaman video menunjukkan air sebatang sungai di Senawang bertukar menjadi warna biru dipercayai akibat sisa buangan dari sebuah kilang berhampiran tular di media sosial. 

Insiden itu mengundang kecaman orang ramai yang kesal kerana pencemaran seperti itu masih berlaku ke atas air sungai yang merupakan sumber bekalan air mentah. 

Norhazni berkata, siasatan terkini pihaknya petang ini mendapati kualiti air sungai tersebut berada dalam keadaan terkawal dan nilai pH adalah neutral, namun pemantauan terus dilakukan dari semasa ke semasa.  

"Pihak kilang telah menghentikan operasi dan selesai melakukan kerja pembersihan bagi menyurai impak kejadian tersebut. Siasatan lanjut terhadap operasi premis ini juga masih diteruskan," katanya. - K! ONLINE