Ketika peristiwa itu berlaku, saya masih budak. Pagi ke sekolah rendah. Waktu petang, kadang-kadang terpaksa ponteng kelas agama dan mengaji. Kenapa? Saya diminta mengangkat air dari perigi! Hari-hari saya rasa seperti diseksa. Seperti te­lah disusun waktunya, saya terpaksa mengayuh basikal sambil membawa timba (menggunakan tin Milo), botol besar dan tali sejauh lima kilometer dari rumah untuk mengambil air bersih di sebuah perigi di sebuah kampung (untuk kegunaan minum dan memasak).

Perigi itu masih wujud sehingga sekarang. Ia terletak berhadapan dengan tanah perkuburan Cina yang menjadi tempat bersemadinya tokoh nasional negara yang juga pengasas MCA, Tun Tan Cheng Lock.

Memang resam seorang budak, saya berperang dengan pe­rasaan tatkala dipaksa memenuhkan tong air yang kontang di rumah. Dengan hanya berbasikal, saya kira, lebih 10 kali saya berulang-alik mengangkut air. Hari-hari saya berdoa agar Tuhan segera turunkan hujan.

Adakalanya, saya merajuk. Rakan-rakan sebaya pun sama. Apa yang kami buat ialah berkumpul beramai-ramai di tepi jirat Cina untuk sesi meluah perasaan. Sengaja kami lambat-lambatkan kerja.

Bukan apa, kami terlalu penat. Sepatutnya, waktu petang kami bermain galah panjang, main dam dan getah atau main sorok-sorok. Tapi, ini tidak, kami dibebani dengan kerja-kerja berat. Marah betul saya ketika itu. Namun, sekali-sekala seronok juga kerana jika kena pada waktunya, waris Cheng Lock hadir mengagihkan makanan ringan kepada kami.

Memang ada lori tangki yang membawa air hadir ke kampung kami. Masalahnya, saya meluat kerana mereka jarang betul tepati masa. Datang sesuka hati. Kadang-kadang tiada langsung.

Perigi Hang Tuah yang terletak di Duyung memang dibanjiri manusia yang mendambakan air. Tapi kenalah beratur panjang. Tidak tahulah ia satu kebetulan atau tidak, memang benar perigi itu tidak pernah kering. Betapa terdesaknya orang Melaka mahukan bekalan air, perigi di Bukit Cina yang dimomokkan kononnya airnya merupakan air mayat pun jadi sasaran. Sudah darurat, apa pun boleh. Lihat, sukarnya kehidupan kami ketika itu.

Kampung saya kemudian terpilih dalam program satu perigi, satu rumah. Di situlah ibu saya membasuh dan orang kampung mandi beramai-ramai. Kalau hujan (hasil pembenihan awan), kami akan mandi air hujan. Ketika itu, kami merasakan betapa nikmatnya ada air.

Banyak teori sebenarnya yang timbul mengenai kemarau di Melaka. Mitos paling popular ialah kononnya tindakan kerajaan mengorek kembali Makam Tujuh Beradik di Pulau Besar untuk tujuan pembangunan telah menyebabkan Melaka terkena sumpahan. Dongeng lain, naga Pulau Besar panas hati lalu menyembur api ke negeri ini hingga menyebabkan Melaka tiga bulan merana tiada air.

Kini, saya sudah hampir empat tahun menetap di Selangor. Sepanjang tempoh itu, sudah lebih tiga kali saya terseksa gara-gara bekalan air terputus. Setelah puluhan tahun, episod malang berulang sekali lagi nampaknya.

Di Melaka, krisis air disebabkan memang tiada air. Empangan Durian Tunggal yang merupakan nadi bekalan air negeri Melaka menjadi kering akibat kemarau yang berpanjangan.

Namun di negeri Selangor, apa yang terjadi sebaliknya. Empangan mereka penuh dengan air. Bukankah tidak berguna mempunyai air mentah yang penuh di empangan tetapi air te­rawat tidak sampai ke rumah?

Kemelut ini boleh diselesaikan namun kerajaan Selangor dilihat masih berlengah-lengah dalam proses penstrukturan semula industri air yang membolehkan sistem paip dan infrastruktur bekalan dinaik taraf.

Perbuatan kerajaan negeri Selangor sangat menyakitkan hati kami. Kami tertanya-tanya adakah isu bekalan air terputus akan terjadi lagi? Jangan disebabkan permainan politik, kami terus menjadi mangsa. Sungguh, kami sudah tidak sanggup mengharung azab lagi.