Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2017 Siri 2 yang dibentangkan di Parlimen hari ini, daripada jumlah tersebut pendapatan janaan sendiri adalah RM100.785 bilion atau 81.1 peratus, geran mengurus berjumlah RM16.952 bilion atau 13.6 peratus dan pelunasan geran lain berjumlah RM6.625 bilion atau 5.3 peratus.

Analisis Audit mendapati badan berkanun persekutuan di bawah Kementerian Kewangan mencatatkan pendapatan tertinggi berjumlah RM78.447 bilion pada 2017. 

Ini diikuti Kementerian Pendidikan Tinggi berjumlah RM16.468 bilion, Jabatan Perdana Menteri pada RM8.147 bilion, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah sebanyak RM6.121 bilion dan Kementerian Sumber Manusia pada RM5.028 bilion. 

Badan berkanun persekutuan di bawah kementerian lain mencatatkan pendapatan berjumlah RM10.151 bilion, menurut laporan tersebut. 

Badan berkanun persekutuan di bawah Kementerian Kewangan mencatatkan peningkatan pendapatan pada 2017 berbanding 2016, iaitu RM16.304 bilion yang sebahagian besarnya disumbangkan oleh peningkatan pendapatan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM11.290 bilion.

Badan berkanun persekutuan di bawah Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi pula mencatatkan penurunan pendapatan pada 2017 berbanding 2016, iaitu RM1.023 bilion yang sebahagian besarnya disebabkan penurunan pendapatan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) berjumlah RM1.097 bilion.

Analisis Audit juga mendapati KWSP mencatatkan pendapatan tertinggi pada 2017 berjumlah RM49.403 bilion, iaitu 39.7 peratus daripada jumlah pendapatan yang dicatatkan oleh 114 badan berkanun persekutuan. 

Ini diikuti oleh Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) berjumlah RM10.249 bilion, Bank Negara Malaysia (BNM) sebanyak RM10.043 bilion dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) pada RM4.954 bilion.

Badan berkanun persekutuan lain pula mencatatkan pendapatan berjumlah RM49.713 bilion, menurut laporan itu.

Analisis prestasi kewangan badan berkanun persekutuan disediakan berdasarkan 114 daripada 135 penyata kewangan badan berkanun persekutuan bagi 2017 yang memperoleh pendapat tanpa teguran termasuk pendapat tanpa teguran dengan penekanan perkara.

Baki 21 badan berkanun persekutuan tidak diambil kira prestasi kewangannya kerana 13 penyata kewangan badan berkanun persekutuan masih belum dimuktamadkan manakala lapan penyata kewangan lagi memperoleh pendapat berteguran, bertentangan dan penafian pendapat, menurut laporan berkenaan. - Bernama