Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2017 yang dikeluarkan hari ini, perbelanjaan mengurus dan pembangunan berjumlah RM262.579 bilion iaitu meningkat sebanyak RM10.411 bilion berbanding 2016.

"Kerajaan Persekutuan mengalami defisit berjumlah RM40.321 bilion dengan nisbah defisit kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada paras tiga peratus," katanya.

Menurut laporan itu, Kerajaan Persekutuan telah membuat pinjaman dari dalam dan luar negara berjumlah RM129.248 bilion bagi membiayai perbelanjaan pembangunan dan membayar balik hutang manakala hutang Persekutuan berjumlah RM686.837 bilion dengan nisbah hutang kepada KDNK pada paras 50.8 peratus.

"Pembayaran balik hutang secara terus daripada akaun pinjaman disatukan adalah di luar mekanisme bajet kerajaan.

"Ini bermaksud bayaran balik hutang (prinsipal) tidak diperuntukkan dalam bajet tahunan Kerajaan Persekutuan yang dibentangkan di Parlimen dan tidak ditanggungkan dalam perbelanjaan mengurus tahun semasa," menurut laporan itu. - Bernama