Muhamad Firdaus Ibrahim, 23, yang merupakan atlet tenis berkerusi roda selamat dijabkabulkan dengan pasangannya, Siti Fatimah Mohd. Nor, 25, oleh jurunikah mukim Pulau Kerengga, Rashid Mustafa di Masjid Sultanah Nurzahirah di sini.

Atlet dalam kalangan golongan orang kelainan upaya (OKU) yang meraih pingat gangsa pada Sukan Paralimpik Kuala Lumpur pada tahun 2017 itu berkata, beliau bersyukur dapat menoktahkan percintaannya dengan Siti Fatimah yang berasal dari Seberang Marang di sini dalam majlis perkahwinan beramai-ramai itu.

"Saya berkenalan dengan isteri yang ketika itu masih belajar di sebuah kolej di Kuala Lumpur menerusi laman Instagram pada Oktober 2017 sebelum menyampaikan hasrat untuk melamarnya pada Januari 2018.

"Syukur kerana isteri menerima saya yang lumpuh dan berkerusi roda akibat kemalangan jalan raya ketika berusia 16 tahun seadanya selain perhubungan kami juga direstui keluarganya," katanya ketika ditemui bersama Siti Fatimah dalam majlis resepsi bersama 23 pasangan lain di Dewan Majlis Daerah Marang di sini hari ini.

Mohd. Firdaus berkata, perkahwinan dengan Siti Fatimah yang merupakan seorang kakitangan swasta di sebuah syarikat di Bangi, Selangor bakal menyemarakkan lagi semangatnya untuk terus memburu kecemerlangan dalam sukan tenis berkerusi roda sekali gus mengharumkan nama negara. - K! ONLINE