Dalam satu kenyataan di sini hari ini, maahad itu berkata, kebenaran menumpang sementara di premis STIAS dengan penggunaan asrama dan tempat belajar berasingan dibenarkan oleh Kementerian Pendidikan sementara menunggu bangunan milik mereka yang kini dalam pembinaan siap sepenuhnya.

Kenyataan itu menyebut, ketika kebakaran tersebut berlaku segala usaha serta pelan tindakan kecemasan digerakkan segera oleh warden dan guru untuk mengeluarkan semua pelajar di kawasan lapang dan selamat.

"Semua pemeriksaan terhadap pelajar dilakukan dengan segera bagi memastikan bilangan mencukupi dan selamat. Kesemua 85 pelajar Maahad Al Baidha' Li Takwin Al Ulama' berada dalam keadaan selamat. Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian tersebut.

"Pihak Maahad Al Baidha' Li Takwin Al Ulama' telah dan sentiasa membuat pemeriksaan rutin pendawaian di semua bangunan milik maahad itu dan memastikan semuanya dalam keadaan baik," kata maahad tersebut.

Maahad berkenaan berkata, pihaknya juga akan memberi kerjasama penuh dalam siasatan kebakaran berlaku pada 1.58 pagi tadi itu yang melibatkan dua dorm penginapan pelajar yang musnah 90 peratus. - Bernama