Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 8.30 malam itu memusnahkan sebahagian asrama penginapan termasuk katil, tilam, buku serta beberapa barangan peribadi milik pelajar.

Rumah banglo yang dijadikan asrama itu menempatkan kanak-kanak dan remaja perempuan yang juga merupakan anak yatim berusia 9 hingga 15 tahun.

Menurut pengetua pusat tahfiz tersebut, Abdul Latif Abdul Kadir, 50, ketika kejadian tiada pelajar berada di dalam asrama berkenaan kerana mereka sedang mengikuti kelas pengajian al-Quran.

"Seorang pelajar yang sedang mengambil wuduk ternampak kepulan asap serta api di tingkap asrama dan mendapati sebuah bilik sedang terbakar.

"Keadaan bertukar menjadi kelam-kabut selepas kesemua pelajar melihat api semakin marak dan bergegas untuk menyelamatkan diri," katanya ketika ditemui Kosmo! di lokasi kejadian di sini hari ini.

Jelas Abdul Latif, jumlah kerugian dianggarkan mencecah hampir RM20,000 berikutan hampir kesemua peralatan yang berada dalam asrama itu rosak teruk.

Katanya lagi, kesemua pelajar juga dibenarkan pulang ke kampung masing-masing sementara menunggu kerja-kerja baik pulih dijalankan. - K! ONLINE