Tokoh Ulama Dunia dari Sudan, Prof. Dr. Sayyid Abdul Wahab Al Tazi berkata, model pendidikan yang diperkenalkan oleh Kumpulan Pendidikan Sofa wajar dijadikan contoh memandangkan kaedah pembelajaran sedemikian telah diabaikan oleh sesetengah negara-negara Islam.

"Satu daripada kelebihan sistem pendidikan berkenaan adalah ia membantu menguatkan ingatan para pelajar dari usia muda menerusi pembacaan al-Quran, sekali gus memudahkan proses pembelajaran mereka.

"Justeru, saya percaya Sistem Pendidikan As Sofa adalah satu kaedah pembelajaran yang tepat bagi melahirkan lebih ramai ilmuwan Islam pada masa akan datang," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau yang juga Profesor di Universiti Raja Saud, Arab Saudi itu berkata demikian ketika menghadiri Majlis Konvokesyen al-Quran dan Hadith Kolej Islam As Sofa (KIS) Kali ke-5 melibatkan 118 orang graduan di Hotel Intercontinental di sini. 

Pada majlis tersebut, seramai 118 graduan dianugerahkan sijil dan ijazah termasuklah 42 orang graduan Sijil Talaqqi al-Quran 30 Juzuk Bersanad, 14 orang graduan Tullab Al Hadith (Khatam Kutub Sab'ah secara syarahan), 31 orang graduan bagi Sijil Tahfiz al-Quran dan tiga orang penerima anugerah Syahadah 30 Juzuk, kategori terbaik (4) dan tokoh As Sofa (2).

KIS turut meraikan 22 graduan sulung bagi program Ijazah Aliyah Perguruan As Sofa.

Sementara itu, Pengarah Kuliah Qiraat Mohammad VI Universiti Qarawiyyin, Prof. Dr. Khalid Saqi berkata, beliau percaya model pembelajaran yang diguna pakai oleh KIS akan dijadikan contoh oleh negara-negara di rantau ini ekoran keberkesanannya dalam melahirkan ilmuwan Islam.

Beliau berkata, keberkesanan program tersebut juga menjadi faktor bagi pihaknya untuk menjalin kerjasama dengan KIS menerusi satu memorandum persefahaman (MOU) agar enam orang pelajar dari kolej berkenaan dapat melanjutkan pelajaran di Univerviti Qarawiyyin.

Semua pelajar berkenaan akan ditaja sepenuhnya oleh Kementerian Wakaf Diraja Maghribi khusus bagi bidang Qiraat.

"Saya akui sistem pendidikan As Sofa adalah menarik dan mempunyai prospek masa depan. Kami menyokong sepenuhnya program tersebut dan menawarkan bantuan kepada KIS menerusi MOU tersebut," katanya.

KIS merupakan institusi pengajian tinggi swasta yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan dan mendapat pengiktirafan oleh Agensi Kelayakan Malaysia sejak 2012. - K! ONLINE