Beliau tanpa mempeduli pandangan dan amaran daripada negara-negara sekutu mengumumkan tarif 25 peratus ke atas keluli dan 10 peratus bagi aluminium import.

Jelas tindakan itu membangkitkan kemarahan dalam kalangan negara-negara pengeksport produk tersebut termasuk mereka yang terbabit dalam industri pengeluaran berasaskan keluli dan aluminium di AS sendiri.

Meskipun demikian, tindakan itu dialu-alukan oleh syarikat dan pekerja industri berkenaan di AS yang menganggap ia sebagai membela nasib mereka, selain membuktikan janji pilihan raya Trump melaksanakan polisi ‘Amerika Diutamakan’.

Tindakan itu jelas membangkitkan rasa tidak puas hati dalam kalangan negara-negara di Eropah yang mengancam melaksanakan tindak balas menentang jenama-jenama utama AS seperti Harley-Davidson dan Levi’s.

Bagaimanapun kenyataan itu dibidas semula oleh Trump yang turut mengugut untuk mengenakan ‘serangan balas’ mengenakan cukai lebih tinggi terhadap ken­deraan keluaran Eropah yang masuk ke AS.

Begitulah suasananya apabila Trump mula melancarkan perang perdagangan yang disifatkan China sebagai berbahaya kerana boleh menjejaskan ekonomi dunia.

Malah, musuh tradisi AS yang juga antara pengeksport utama keluli dan aluminium itu menyatakan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindak balas terhadap produk bijirin dan soya daripada AS.

Bagaimanapun secara taktikalnya, Trump kelihatan bijak dalam memperkenalkan tarif baharu keluli dan aluminium apabila membuat pengecualian terhadap sebilangan negara sekutu yang menjadi pengeksport terbesar produk berkenaan ke AS iaitu Kanada dan Mexico.

Beliau juga dengan pantas menerima rayuan Australia untuk turut diberi pengecualian, manakala sejumlah negara seperti Argentina dengan pantas mengemukakan rayuan sama bagi mengelak industri berkenaan merudum sekali gus ribuan pekerja bakal hilang pekerjaan.

Mengapa Kanada dan Mexico diberi layanan istimewa? Kelihatan seperti itu, namun sebenarnya tidak kerana AS, Kanada dan Mexico kini dalam rundingan semula blok Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara (NAFTA).

Tentu sekali AS akan menjadikan tarif itu sebagai senjata ampuh untuk ‘memaksa’ Kanada dan Mexico mengikut telunjuknya sebelum memeterai apa-apa perjanjian dalam blok berkenaan.

Trump dilaporkan berkata, beliau akan bersikap fleksibel kepada ‘rakan sebenar’ dan akan mengecualikan Kanada dan Mexico secara tetap jika rundingan semula NAFTA berjaya.

Apa yang menakutkan, tarif keluli dan aluminium yang menjadi senjata perang perdagangan Trump itu boleh menjejaskan ekonomi dunia secara keseluruhan kerana dikhuatiri negara-negara lain akan saling bertindak balas mengenakan tarif barangan import satu sama lain.

Bayangkan jika senario itu terjadi, semua barangan import akan menjadi mahal, kuasa beli menjadi lemah, nilai wang menjadi lebih rendah, sekali gus putaran ekonomi terbantut dan akhirnya, peluang pekerjaan menjadi terhad, kadar upah sukar untuk ditingkatkan serta pengangguran bertambah. 

Malah, syarikat yang mengeluarkan barangan berasaskan keluli  dan aluminium telah melahirkan kebimbangan kos pengeluaran mereka akan meningkat dan menyebabkan harga produk pengguna termasuk kereta dan sebagainya tidak lagi kompetitif.

Ternyata hari ini, Trump yang berpengalaman luas dalam bidang pelaburan dan perniagaan yang pintar seakan memenangi ‘game’ pertama perang perdagangan dunia.