Kehangatan PRU-14 sangat terasa. Nama pun ‘pilihan raya’, PRU juga ‘hari raya’ yang wajib diraikan umat Malaysia setiap lima tahun sekali.

Jika kedatangan hari raya, khususnya ­Aidilfitri disambut dengan hiasan lampu-lampu berbentuk bulan, bintang atau ketupat berwarna-warni serta nyanyian lagu-lagu hari raya yang berkumandang dari setiap corong radio, begitu juga rumah-rumah terbuka, samalah dengan semarak kempen PRU-14. 

Ada sahaja ceramah dan pertemuan demi pertemuan antara bakal Ahli Dewan Unda­ngan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen diadakan di padang-padang awam atau dewan tertutup. Tidak sahaja ceramah kempen, rakyat juga dihidangkan dengan jamuan perut dan halwa telinga.

Itu belum masuk konvoi-konvoi di jalanan. Ketika inilah, mat rempit yang selama ini dipandang sebelah mata menjadi harapan bangsa pengibar panji-panji parti. Seronok!

Itu pada peringkat parti dan warga pe­ngundi biasa, bagaimana pula dengan petugas-petugas parti yang tidak menang tangan mengatur seribu satu agenda dalam tempoh genting berbaki seminggu sahaja lagi.

Dalam keriuhan kempen, khidmat artis dan selebriti tanah air tidak ketinggalan jadi peledak. Pendek kata, tawaran persembahan atau tagihan kemunculan mereka laris macam ‘pisang goreng panas’, terutama apabila ada parti bertanding yang meminta jasa baik mereka bagi mendekati pengundi.

Artis terkenal seperti Hafiz Hamidun, Anne Ngasri, Datuk Norman Abd. Halim dan Khir Rahman, Datuk Rosyam Nor an­tara yang pernah turun padang sama-sama berasak meraih undi pada PRU terdahulu.

Kalau Azwan Ali atau Diva AA hanya pusing keliling Bukit Antarabangsa atas tiket Parti Bebas atau undilah simbol gajah, kemeriahan PRU dengan gelagat serta khidmat golo­ngan selebriti lain tidak terkecuali. 

Biarpun mereka tidak bertanding, nama-nama seperti Dira Abu Zahar, Ayati Tasrip, Datuk Zed Zaidi, Liza Abdullah, Datuk A. Rahman Hassan, Fizo Omar, Datuk A. Aida, Datuk Jureyy Latif serta barisan penyanyi popular lain tidak menang tangan ditempah untuk memeriahkan pelbagai acara yang antara lain pastinya agenda kempen PRU-14.

Gelarkanlah sebagai pelaris, peledak atau apa sahaja, golongan artis tetap ada peranan dalam PRU. Inilah masanya untuk mereka membalas segala kesejahteraan dan keamanan negara selama ini.

Keterujaan dan sokongan padu golongan artis terhadap agenda politik negara diakui oleh Presiden Persatuan Seniman, Zed Zaidi. Pada musim PRU begini, bagusnya golongan artis boleh tambah pendapatan dengan kekerapan undangan persembahan berbanding tempoh kebiasaan. 

Ketika ini juga, peminat yang barangkali tidak pernah lihat artis dari jarak dekat boleh berbuat demikian. Jadi, terima kasih­lah terhadap PRU!