Timbalan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Abdulfattah Suliman Mashat menyifatkan Malaysia sebagai model dalam menjaga kebersihan kerana jemaah meninggalkan khemah mereka di Mina dan Arafah dalam keadaan bersih semasa Operasi Masyair yang merupakan kemuncak kepada ibadah haji.

"Sebenarnya, ia tanggungjawab kita sebagai umat Islam. Kita perlu menjaga tempat dan khemah kita supaya bersih. Ini (sepatutnya) sikap perlu ada bagi setiap umat Islam.

"Kita dalam perbincangan dengan TH tentang bagaimana kita dapat menyediakan 'konsep hijau'. Insya-Allah pada masa hadapan atau tahun depan untuk manfaat kepada semua jemaah haji," kata Abdulfattah ketika pertemuan dengan pengurusan kanan TH bagi operasi musim haji 1439H di sini, hari ini.

Turut hadir pada mesyuarat itu ialah Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman serta dua Timbalannya, Nurrinanuwar Shamsuddin (Kebajikan) dan D.r Shaffari Marzuki (Perubatan). 

"Saya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada TH di atas sistem pengurusan haji yang cemerlang dan efisien untuk jemaah haji Malaysia," katanya. - Bernama