Tiga produk tersebut adalah Ar-Rahnu Bisnes YaPEIM, Ar-Rahnu Emas YaPEIM dan Ar-Rahnu Didik YaPEIM.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanahnya, Datuk Dr. Mohd. Daud Bakar berkata, sambutan terhadap tiga produk pembiayaan itu sangat menggalakkan apabila sebanyak 6,695 transaksi telah dicatatkan sejak ia dibuka kepada orang ramai pada 1 Jun lalu.

"Kita merekodkan jumlah pinjaman sebanyak RM23 juta, marhun atau nilai barang kemas RM29 juta dan upah simpan RM177,517," katanya kepada pemberita selepas melancarkan produk baharu Ar-Rahnu YaPEIM peringkat nasional di cawangan Ar-Rahnu YaPEIM Sungai Petani di sini hari ini.

Kata beliau, Ar-Rahnu Bisnes YaPEIM menyasarkan golongan usahawan kecil dan besar yang memerlukan modal sehingga RM75,000 bagi setiap transaksi dan RM150,000 secara terkumpul bagi membangunkan perniagaan

"Ar-Rahnu Didik YaPEIM pula menyasarkan ibu bapa yang memerlukan pinjaman tunai melalui cagaran barang kemas secara mudah dan cepat bagi perbelanjaan anak ke sekolah atau institusi pengajian.

"Bagi Ar-Rahnu Emas YaPEIM, ia ditawarkan khusus untuk pembeli emas yang dijual atau dikeluarkan YaPEIM Gold Sdn. Bhd. dengan nilai pinjaman dan margin lebih tinggi," ujarnya.
Menurut Mohd. Daud, ketiga-tiga produk itu mempunyai margin dan jumlah pinjaman terkumpul yang lebih tinggi berbanding produk Ar-Rahnu YaPEIM sedia ada.

"Margin pinjaman yang ditawarkan setinggi 80 peratus daripada nilai barang kemas dan setiap pelanggan boleh membuat pinjaman sehingga RM450,000 terkumpul untuk setiap individu," katanya.

Tambahnya, pelaksanaan tiga produk baharu tersebut adalah bagi memastikan Ar-Rahnu YaPEIM lebih kompetitif dan berdaya saing di pasaran seterusnya menarik ramai pelanggan menjalankan urusan gadai dengan mereka.

Terdapat sebanyak 203 cawangan dan sembilan kaunter bergerak Ar-Rahnu YaPIEM di seluruh negara. - K! ONLINE