Dalam kejadian pada pukul 3 pagi itu, kedua-dua lelaki warga Indonesia berusia 27 dan 29 tahun diberkas ketika memunggah barang-barang di atas sebuah kapal di kedudukan 2.9 batu nautika selatan Teluk Rumania.

Timbalan Pengarah (Operasi) Maritim Negeri Johor, Kepten Maritim Sanifah Yusof berkata, semasa kejadian, pada awalnya dua buah bot bersama empat individu ditahan.

“Semasa perjalanan untuk dibawa ke jeti Pos Maritim Pengerang sebuah bot bersama dua individu berjaya meloloskan diri ke perairan Indonesia ketika pihak Maritim Malaysia sedang melakukan pembaikan pada satu bot yang hampir tenggelam.

“Hasil kerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia iaitu ASINTEL DANLANTAMAL IV dan BAKAMLA, kedua mereka berjaya ditahan di Indonesia pada petang semalam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sanifah berkata, modus operandi digunakan kumpulan itu sama seperti kejadian-kejadian lepas umpamanya kes berlaku di Pulau Kukup yang menyasarkan kapal-kapal bergerak perlahan.

Jelasnya, mereka melakukan aktiviti ini secara berkumpulan namun tidak menggunakan senjata.

“Barang-barang yang biasanya dicuri adalah besi buruk atau apa-apa sahaja barang yang mudah diambil seperti tali dan sebagainya,” katanya.

Kes disiasat dibawah seksyen 380 dan seksyen 445 Kanun Keseksaan iaitu mencuri serta pecah masuk.

Jika didapati bersalah ,boleh dipenjara tidak lebih sepuluh tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat.- K! ONLINE