Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Seri Zulkifli Abu Bakar berkata, pertemuan antara pihak pengurusan tertinggi Malaysia dan Indonesia bertujuan menyelesaikan pelbagai masalah di perairan antarabangsa. 

Menurut beliau, antara perkara dibincangkan dalam pertemuan itu adalah meleraikan pertikaian isu nelayan tempatan yang diperas ugut sebaik ditarik masuk ke perairan negara jiran.

"Memang kes itu berlaku sebelum ini tetapi, tahun ini belum terjadi kes sedemikian kerana kita meningkatkan rondaan di laut serta mengadakan pertemuan dua hala secara berkala dengan pihak berkuasa negara jiran bagi menyelesaikan isu tersebut. 

"Selain itu, Maritim Malaysia juga sentiasa menasihati nelayan tempatan supaya tidak menyeberangi sempadan dan menangkap ikan di perairan Indonesia bagi mengelak mereka ditahan pihak berkuasa Republik itu," katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa menghadiri majlis pelupusan 864 kilogram ganja hasil rampasan Maritim Malaysia 
di Pusat Kualiti Alam, Bukit Pelanduk di sini hari ini. 

Hadir sama, Pengarah Jabatan Alam Sekitar negeri, Norhazni Mat Sari dan Pengarah Urusan Kumpulan Cenviro Sdn. Bhd., Khalid Bahsoon.

Mengulas perkara sama, Zulkifli berkata, nelayan tempatan sebelum ini pernah ditahan pihak berkuasa Indonesia dalam dua keadaan iaitu mereka memasuki perairan negara itu secara haram dan keduanya ditarik masuk secara paksa ke sana untuk diperas ugut. 

"Setakat ini, kita berjaya mengekang cara kedua itu dengan mengadakan pertemuan dua hala bersama-sama pihak berkuasa Indonesia. 

"Pihak kami juga pernah menahan beberapa anggota penguatkuasa maritim Indonesia yang masuk ke perairan kita dan memeras ugut nelayan kita dua tahun lalu. Sejak tangkapan itu, kes peras ugut sudah berkurangan," ujarnya. - K! ONLINE