Pegawai APM Daerah, Mohd. Yussalmi Mohd. Yusoff berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu daripada pengadu yang tinggal di sebuah kuarters Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Jalan Kuala Lipis di sini pada pukul 9.05 pagi. 
     
Katanya, setibanya tiga anggota di lokasi, terdapat seekor anak kucing sedang lemas. 
    
“Anak kucing itu disedari hilang pemiliknya sebelum mencarinya di sekitar rumah. 
    
“Bagaimanapun, ketika ke tandas pemiliknya mendapati anak kucingnya itu sedang lemas dalam mangkuk tandas," katanya. 
    
Mohd. Yussalmi berkata, anggotanya bertindak segera menyelamat anak kucing berkenaan daripada mati lemas dalam masa tujuh minit.
   
Katanya, anggotanya berjaya menarik keluar anak kucing itu menggunakan penjerut.

“Selepas berjaya diangkat keluar dan anak kucing itu dibersihkan dan diserahkan kepada pemiliknya,” katanya. - K! ONLINE