Pengarah APM Selangor, Kolonel (PA) Ghazali Abd. Rahman berkata, siasatan dilakukan pihaknya mendapati kejadian yang berlaku pada 31 Julai lalu itu berlaku susulan perselisihan faham daripada orang awam yang membuat aduan.

Katanya, APM sentiasa mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang diterima menerusi panggilan di talian 999 yang direspon oleh anggota operasi bertugas mengikut kategori bantuan khidmat kemanusian dan kes lain-lain.

"Sebaliknya, panggilan dilakukan oleh pemanggil adalah kepada pejabat pentadbiran APM negeri dan bukannya bilik gerakan.

"Namun, saya memandang berat isu tersebut dan telah mengarahkan semua anggota APM sentiasa bersedia dan mengutamakan panggilan kecemasan daripada orang awam," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis Perutusan Amanah dan Perhimpunan Bulanan APM negeri Selangor di sini sebentar tadi.

Ghazali memberitahu, masyarakat seharusnya lebih peka terhadap kegunaan talian 999 ini dan tidak menyalahkan mana-mana pihak.

Jelas beliau, setiap panggilan kecemasan menerusi talian 999 itu dikendalikan secara spesifik oleh agensi-agensi yang berkaitan.

"Perkara ini perlu diketahui umum kerana ia akan membantu dan menentukan kecepatan petugas dalam merespon setiap kes kecemasan yang diterima bagi mengelakkan sebarang salah faham dan kesulitan kepada pihak pemanggil dan petugas yang terlibat," katanya.

Dalam kejadian 31 Julai lalu, seekor tuntung seberat lima kilogram ditemui di sekitar Taman Tasik Shah Alam di sini dalam keadaan mata kail tersangkut pada mulut haiwan tersebut.

Insiden itu mencetuskan polemik dalam kalangan pengguna di laman sosial Facebook apabila tular APM tidak melayan panggilan kecemasan tersebut dengan akhirnya hanya pihak bomba sahaja membantu haiwan tersebut. - K! ONLINE