Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Lt Kol (PA) Effendy Ali berkata, rata-rata aset yang dimiliki oleh APM Melaka telah uzur dan ada di antaranya tidak dapat dibaiki lagi kerana terlalu usang, namun itu bukan alasan bagi pihaknya untuk tidak terus memberikan khidmat terbaik kepada masyarakat dan agensi lain yang memerlukan bantuan.

Effendy memberitahu Bernama, motosikal lasak diperlukan bagi membolehkan pasukan perubatan APM Melaka memberi rawatan awal kepada mangsa apabila berlaku kemalangan di lebuh raya.

"Kini kita hanya mempunyai sebuah motosikal berkuasa tinggi yang ditempatkan di APM Alor Gajah yang akan bertindak segera jika berlaku kemalangan di Lebuh Raya Utara-Selatan," katanya.

Beliau berkata, APM Melaka mengalu-alukan jika ada individu atau syarikat korporat yang sedia untuk menyumbang aset bagi kegunaan APM Melaka.

Mereka yang ingin berbuat demikian boleh terus menghubungi Effendy atau datang ke pejabat APM negeri Melaka. - Bernama