Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Azmy Yahya berkata, pihaknya akan menugaskan 1,746 anggota dan pegawai di 114 laluan di jalan Persekutuan dan jalan negeri yang telah dikenal pasti di seluruh negara.

APM juga menugaskan pasukan perubatan yang bertindak sebagai Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) apabila berlaku kecemasan, katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, antara tindakan yang akan diambil sepanjang rondaan termasuk memberi rawatan awal jika berlaku kemalangan, membantu pengguna kenderaan yang kehabisan bahan api dan kerosakan kecil, membantu menukar tayar kenderaan serta mengalihkan bangkai haiwan.

Katanya, Op Bantu menerima 633 kes membabitkan 1,785 mangsa pada tahun lepas berbanding 504 kes melibatkan 1,206 mangsa menerusi operasi yang dijalankan di seluruh negara pada 2016.

Dalam pada itu, APM juga katanya akan terlibat dengan Op Selamat bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi memantau keselamatan jalan raya pada tujuh hari sebelum dan tujuh hari selepas hari raya.

"Seramai 80 anggota dan pegawai APM akan ditugaskan pada Op Selamat bersama  aset seperti ambulans, motosikal peronda serta kenderaan pacuan empat roda4x4 bagi menghadapi sebarang kemalangan termasuk kejadian pokok tumbang," katanya. - Bernama