Aplikasi itu dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di sini hari ini selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah.

Biro Pengaduan Awam (BPA) dalam satu kenyataan berkata, keyakinan itu berdasarkan trend penggunaan RR1.0 untuk tempoh tiga tahun lepas dengan peningkatan 8.3 peratus pada 2017 dan 17.4 peratus pada 2018.

"Pada 2016, daripada keseluruhan aduan yang diterima oleh BPA, sebanyak 7.5 peratus aduan diterima menerusi aplikasi telefon pintar RR1.0," katanya.

Menurut BPA, statistik menunjukkan sebanyak 2,089 aduan telah diterima melalui saluran aplikasi RR 1.0 sejak dibangunkan pada Mei 2016 hingga 31 Disember 2018.

Katanya, daripada jumlah itu, 48.6 peratus atau 1,016 aduan adalah ke atas pihak berkuasa tempatan, diikuti kementerian dan agensi kerajaan persekutuan (26.6 peratus atau 555 aduan), agensi kerajaan negeri (16.9 peratus atau 354 aduan) dan syarikat swasta, utiliti dan syarikat milik kerajaan (7.9 peratus atau 164 aduan).

"Antara aduan tertinggi yang diterima berkaitan jalan raya (18.9 peratus), lampu jalan (8.8 peratus), perkhidmatan agensi kerajaan (7.3 peratus), longkang (5.8 peratus), perkhidmatan syarikat swasta (5.6 peratus) dan bekalan air (5.3 peratus)," katanya.

Sementara itu, BPA berkata, menerusi aplikasi generasi kedua itu, aduan boleh disampaikan kepada 460 badan kerajaan melibatkan 25 kementerian, 257 agensi kerajaan persekutuan, 13 pejabat setiausaha kerajaan negeri, 149 pihak berkuasa tempatan dan 16 syarikat utiliti.

"Penghasilan RR 2.0 merupakan langkah terbaharu pihak kerajaan untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan awam," katanya.

RR 2.0 boleh dimuat turun daripada App Store dan Google Play Store. - K! ONLINE