Menterinya Anthony Loke Siew Fook berkata, penubuhan APAD yang dipersetujui dalam mesyuarat  kabinet  hari ini merupakan hala tuju kementerian selepas pengumuman Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung pembubaran Suruhanjaya Pengangkutan Awam (SPAD) pada pertengahan Mei lalu. 

Beliau berkata APAD akan berperanan dalam perancangan dan pembangunan  sektor pengangkutan awam darat khususnya berkaitan Transit Aliran Massa (MRT), Transit Aliran Ringan (LRT) dan sistem bas. 

"Bagi mengelakkan pertindihan fungsi penguatkuasaan pengangkutan darat, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan diberi kuasa untuk melaksanakan fungsi penguatkuasaan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010. 

"Fungsi sedia ada SPAD yang melaksanakan penguatkuasaan dan penyediaan perkhidmatan di kaunter akan dialihkan kepada JPJ bagi melaksanakan kedua fungsi ini... maka, tiada kaunter berasingan JPJ dan SPAD selepas penstrukturan," katanya dalam sidang media di kementeriannya, di sini hari ini. 

Loke berkata JPJ akan diberi kuasa melaksanakan fungsi mengeluarkan lesen dan/atau permit pengendali bagi mod jalan (pengendali pengangkutan awam, kenderaan pelancongan, kenderaan barangan) di kaunter-kaunter perkhidmatan sedia ada JPJ bagi mengelakkan wujudnya dua entiti yang menyediakan perkhidmatan kaunter. 

Katanya struktur organisasi dan perjawatan APAD  akan dibangunkan bersama Jabatan Perkhidmatan Awam  berlandaskan  prinsip-prinsip perjawatan dan organisasi sedia ada. 

Berikutan penstrukutran itu, Loke berkata Akta SPAD 2010 akan dimansuhkan  manakala   Akta  Pengangkutan  Awam Darat 2010 dipinda bagi memberi kuasa kepada kementeriannya, APAD dan JPJ.

Selain itu kementerian juga akan meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi memberi kuasa kepada JPJ, katanya.

Loke berkata empat jawatankuasa kecil ditubuhkan, diketuai Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Seri Saripuddin Kasim untuk memantau pelan penstrukturan semula SPAD. 

Bagi  memastikan sektor pengangkutan darat negara diperkasakan,  Loke berkata Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah dan LPKP Sarawak di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebelum  ini, diletakkan di bawah seliaan Kementerian Pengangkutan. 

"Ini bagi memastikan aspek koordinasi, konsistensi dan penyepaduan pelaksanaan dasar, peraturan, pemberian lesen dan penguatkuasaan di Semenanjung Malaysia dan di Sabah dan Sarawak," katanya. 

Loke berkata urusan dengan SPAD masih berjalan seperti biasa sehingga Akta SPAD dimansuhkan di Parlimen yang akan bersidang bulan depan.

"Ramai masih keliru dan berpandangan bahawa SPAD dibubarkan dan tiada penguatkuasaan serta saman tidak perlu bayar. Itu adalah tidak tepat kerana SPAD masih wujud hari ini sehingga Akta SPAD dimansuhkan di Parlimen,"katanya. - Bernama