Namun, ada dalam pilihan ini yang sangat berat yang melibatkan orang ramai sehingga menjadi satu polemik negara bahkan dunia.

Baru-baru ini rakyat Malaysia berada di persimpangan apabila kerajaan mengumumkan akan memansuhkan hukuman mati ke atas pesalah atau penjenayah di Malaysia.

Beberapa pegawai atasan polis meluahkan rasa bimbang ke atas usaha Malaysia memansuhkan hukuman itu. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Datuk Seri Mohmad Salleh sendiri secara peribadi menyokong agar hukuman mati terhadap pesalah yang dijatuhi hukuman itu diteruskan.

Di Malaysia hukuman mati biasanya dikenakan ke atas pesalah hukuman berat seperti membunuh atau pengedar dadah. Seramai 651 rakyat Malaysia telah dijatuhi hukuman mati sejak 1992 yang kebanyakannya disebabkan kesalahan berkaitan dadah.

Dalam era demokrasi moden hari ini, semua orang bercakap mengenai hak dan kesamarataan.

Hak untuk hidup, hak untuk bersuara dan sebagainya.

Lantas apabila kita sebagai manusia, merampas dan mencabut nyawa individu lain menerusi hukuman gantung maka ia dianggap satu hukuman barbarik yang kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Setakat ini lebih 142 negara telah memansuhkan hukuman gantung atau apa juga bentuk cara mematikan penjenayah mereka sama ada tembakan, suntikan, kerusi elektrik atau pancung.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, 33 buah negara pula masih mempunyai hukuman itu tetapi sudah lama tidak mengamalkannya.

Apa yang pasti, polemik hukuman mati bukan hanya menjadi perbincangan hangat antara pejuang keadilan dan pejuang hak asasi manusia di Malaysia, bahkan di banyak negara.

Pejuang hak asasi tidak henti-henti melaungkan hak seseorang untuk hidup dan mempersoalkan apa yang ingin diperoleh menerusi hukuman gantung. Bagi mereka sama ada hukuman mati dibalas mati bukanlah cara terbaik menamatkan jenayah, apatah lagi kalau ia dilihat dari sudut dendam.

Mereka percaya setiap manusia perlu dipulihkan dan mendapat peluang kedua.

Namun di pihak yang mahukan keadilan bagi keluarga mangsa atau mengurangkan sindiket dadah daripada bermaharajalela, mereka melihat hukuman mati menjadi satu bentuk hukuman yang mampu menakutkan seseorang daripada menjadi pengedar dadah.

Atau sekurang-kurangnya berfikir dua kali sebelum menghunuskan pisau membunuh orang lain.

Apa yang pasti, dalam perdebatan demi perdebatan termasuklah melibatkan bekas hakim dan peguam-peguam terkenal bagai penulis, kita sebenarnya lupa apa yang jauh lebih pen­ting daripada itu.

Ini kerana hakikatnya ketika sesetengah kita begitu gagah memperjuangkan hidup mati individu yang disabitkan de­ngan kesalahan membunuh atau mengedarkan dadah, kita mengabaikan banyak hal lain.

Kita terlupa dalam kes dadah contohnya bayangkan berapa ramai orang yang tidak berdosa mati kerana dadah. Berapa banyak ibu dipenggal anak, berapa ramai isteri dibunuh suami dan berapa banyak anak terabai apabila ibu bapa menjadi penagih angkara pengedar dadah.

Walaupun bak kata sesetengah pihak, hukuman gantung tidak pernah menghentikan pengedaran dadah. Namun persoalannya, bayangkan kalau hukuman tersebut dimansuhkan terus. Bayangkan kalau hukuman gantung itu dapat menakutkan 10 pengedar dadah, berapa banyak orang yang dapat diselamatkan daripada menjadi penagih?