Anda tidak lagi perlu bergantung kepada duit pencen atau dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada usia tua selepas bersara kelak.

Malah, tidak perlu risau pun andai anak-anak mahu ‘membuang’ anda daripada kehidupan mereka. Duit yang banyak itu boleh sahaja digunakan untuk membia­yai pihak yang boleh menjaga anda hingga ke hujung nyawa.

Syaratnya mudah. Setiap kali anda mengeluarkan wang terutamanya bagi melangsaikan kos pendidikan anak-anak, jangan lupa mendapatkan khidmat peguam untuk merangka kontrak yang sah dari segi undang-undang.

Kontrak yang menyatakan bahawa selepas menjawat jawatan tinggi, mereka perlu membayar semula dalam bentuk beberapa peratus daripada pendapatan masing-masing kepada anda.

Ia mirip seperti kontrak perjanjian praperkahwinan yang ditandatangani selebriti bertaraf jutawan khususnya di Hollywood yang menetapkan sekiranya berlaku perceraian, pasangan mereka sama ada berhak atau tidak untuk membuat tuntutan sebagai bayaran ganti rugi yang dipotong daripada pendapatan selebriti tersebut.

Persoalannya sanggupkah anda menandatangani kontrak sebegitu membabitkan anak-anak sendiri?

Adakah anda rasa berbaloi tindakan yang dilakukan seorang wanita Taiwan 20 tahun lalu menandatangani kontrak yang menetapkan bahawa dua anak lelakinya (anak keduanya merupakan seorang doktor gigi) perlu membayar 60 peratus keuntungan bersih daripada pendapatan masing-masing kepada ibu mereka itu?

Atas dakwaan kedua-dua anaknya itu tidak lagi mempedulikan dirinya dan enggan mematuhi kontrak tersebut selepas mereka mula bercinta dengan pasangan masing-masing, wanita tersebut lalu mengambil tindakan saman di mahkamah.

Akhirnya selepas lapan tahun memperjuangkan hak yang menyaksikan anak sulung wanita itu kemudian membayar sebanyak RM680,424 bagi menyelesaikan kes terbabit, mahkamah berkenaan kemudian meme­rintahkan anak keduanya itu yang tetap berdegil mengingkari perjanjian kontrak tersebut supaya membayar RM2.99 juta kepadanya.

Bagi penulis, tindakan itu berbaloi di Taiwan, negara yang menyaksikan peningkatan ketara dalam jumlah kes warga emas yang ‘dibuang’ anak masing-masing sejak akhir-akhir ini.

Bagaimana senario di Malaysia? Penulis biasa membaca kisah duka warga emas di Malaysia yang diabaikan anak masing-masing, namun apa yang membimbangkan adalah sejauh mana jumlah kes sebegitu sudah bertambah dari semasa ke semasa.

Ini kerana sebelum ini laporan menyebut, Kajian Kuasa Perlindungan HSBC Bank Malaysia Bhd. mendedahkan, kira-kira 57 peratus ibu bapa di Malaysia masih memberi sokongan kewangan kepada anak-anak mereka walaupun sudah berusia 18 tahun.

Dalam erti kata lain, kesenangan yang dikecapi golo­ngan ibu bapa di negara ini menyebabkan wujudnya generasi anak-anak ‘manja’ yang masih bergantung kepada ibu bapa dari segi kewangan biarpun sudah mendiri­kan rumah tangga.

Persoalannya, apakah jaminan mereka akan membalas jasa dan pengorbanan ibu bapa masing-masing?

Bagaimanakah layanan mereka kelak terhadap ibu bapa masing-masing selepas bertukar menjadi warga emas dan tidak lagi menyalurkan kesenangan?

Ini suatu isu masa hadapan yang perlu diambil berat dan dipandang serius.