Ahli Parlimen Port Dickson itu turut mengesahkan beliau menerima ugutan dan diminta membayar RM400,000 jika enggan buku itu diterbitkan dan didedahkan kepada umum.

“Saya bagi polis habis siasat, sebab dia (penulis) ugut kalau tak bayar RM400,000, dia ‘publish’ (terbitkan buku itu),” katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis Jamuan Malam Hari Raya anjuran Majlis Perniagaan Malaysia-India (MIBC) di sini malam ini.

Anwar berkata, satu laporan polis telah dibuat Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Kedah, Datuk Johari Abdul terhadap penulis berkenaan, yang dipercayai dibayar dan diupah untuk menghasilkan buku itu.

“Orang yang jadi penulis picisan ini dibayar, diupah dan (sudah tiba) masa untuk (penulis) diketahui oleh umum, disiasat dan diambil tindakan yang wajar,” katanya. - Bernama