Set hidangan di restoran tersebut didakwa naik dengan begitu mendadak tanpa pengumuman rasmi dan menjadi tular begitu pantas selepas seorang pelanggan meluahkan kekecewaannya di Facebook.

Realitinya kita tidak boleh menahan daripada orang ramai memperkatakan mengenai perkembangan harga hidangan di KFC kerana restoran tersebut sememangnya begitu dekat di hati setiap seorang daripada kita.

KFC yang diasaskan di Kentucky, Amerika Syarikat oleh Kolonel Harland Sanders pada tahun 1952 itu pada masa kini te­lah menjadi sebati dengan kehidupan rakyat di Malaysia sendiri.

Meskipun tidak ramai yang mengenali Sanders, seorang le­laki daripada keluarga miskin yang hanya mencapai kemuncak kejayaan dalam hidup dan bergelar jutawan ketika berusia 75 tahun, namun kita cukup me­ngenali ayam goreng yang di­ciptanya.

Ayam goreng dengan resipi rahsia 11 jenis rempah itu pasti­nya akan menyebabkan kita te­rasa lapar apabila tiba-tiba mengingatinya. Malah, air liur boleh menjadi kecur apabila bau gorengan rangup hidangan tersebut mencecah ke hidung.

Keenakan hidangan KFC ditambah dengan asakan iklan pada hampir setiap ruang media massa selain pengurusan restoran yang cekap, bersih dan suasana selesa menjadikan restoran berkenaan menjadi pilihan kepada semua lapisan masyarakat dan peringkat umur.

Ada yang beranggapan restoran KFC hanya sesuai untuk golongan mewah kerana harga hidangan setnya yang rata-rata bermula RM10 ke atas. Satu nilai yang tinggi berbanding harga sepinggan nasi campur di gerai biasa.

Mungkin atas persepsi itu, KFC sering menjadi antara pilihan utama kepada sesebuah keluarga bertukar ‘selera’ di hujung minggu.

Tidak kurang yang menjadikan KFC sebagai tempat untuk majlis keraian hari lahir anak-anak, meraikan kejayaan mereka dalam peperiksaan atau pencapaian dalam sukan dan sebagainya.

KFC juga sering menjadi pilihan kepada si suami untuk merai kepenatan isteri memasak setiap hari. Malah menjadi pilihan si ibu yang tidak sempat memasak untuk anak dan suami di rumah.

Kepada golongan muda-­mudi pula, ada yang menjadikan KFC sebagai tempat bermadu kasih dengan pasangan masing-­masing. Sebagai tempat awam, tiada yang boleh melarang sesiapa sahaja untuk duduk berjam-jam di situ walaupun sekadar menghadap ayam dan kentang goreng sambil menyulam cinta.

Baik kepada ibu bapa, anak dan pasangan kekasih. KFC jelas bukan sekadar untuk mengisi perut yang lapar dan tekak yang dahaga tetapi pemangkin bagi mengeratkan kasih sayang dan cinta.

Bagi penulis pula, saya cuma mengenali KFC ketika melanjutkan pelajaran ke institusi pe­ngajian tinggi di ibu kota sekitar akhir­ tahun 80-an. Malah, tempat asal penulis di bandar Chukai, Kemaman hanya dibuka restoran berkenaan pada akhir tahun 1991.

Hari ini, KFC masih dekat di hati penulis. Apabila teringat, pastinya akan berusaha juga untuk singgah menikmati hidangan kegemaran Snack Plate. Biarpun harga sudah meningkat tetapi itulah realiti yang terpaksa dihadapi.

Menurut laporan media, KFC memaklumkan syarikat itu te­lah melakukan sedikit penyela­rasan pada harga jualan dengan memasukkan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebanyak 6 peratus, berkuat kuasa mulai Disember 2018.

“Terdapat sedikit penyela­rasan terhadap harga-harga produk kami,” kata Pengarah Urusan QSR Brands (M) Hol­dings Berhad, Mohamed Azahari Mohamed Kamil baru-baru ini.

Walaupun kenaikan itu mungkin perit kepada sesetengah orang, semua pihak perlu memahami bahawa syarikat tersebut terpaksa mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan oleh kerajaan.

Malah, selain SST, KFC juga berdepan pelbagai kenaikan kos lain seperti sewa premis yang sentiasa meningkat, kos bara­ngan mentah serta kadar kenaikan gaji pekerja.

Meskipun begitu, memandang­kan eratnya hubungan antara KFC dan rakyat, adalah diharapkan pihak berkenaan dapat mempertimbangkan agar harga yang meningkat tidak terlalu besar kerana ada yang mendakwa kenaikannya mencecah sehingga 24 peratus berbanding harga asal.

Bagi yang memesan satu set hidangan mungkin tidak begitu terasa, bagaimana pula jika sebuah keluarga yang terdiri daripada lima hingga enam ahli ke­luarga.

Semoga kenaikan harga KFC dan penetapan SST tidak mengurangkan kasih sayang antara kita.