Pada malam 1 Syawal, pemain-pemain Arab Saudi akan turun beraksi menentang Rusia diikuti Mesir melawan Uruguay. Kaki bola dari Malaysia juga khabarnya ada yang sudah berada di Rusia untuk menonton bola sekali gus menyambut hari raya di Negara Beruang Merah itu.

Bagi pemain Muslim, Aidilfitri dan mewakili pasukan negara sendiri tentulah ada dilemanya kerana tidak dapat berhari raya bersama keluarga di kampung halaman. Jumlah pemain Muslim pada Piala Dunia 2018 adalah kira-kira 135 orang, lebih ramai berbanding pada Piala Dunia 2014 di Brazil.

Negara-negara Islam yang berentap pada Piala Dunia kali ini ialah Maghribi, Tunisia, Mesir, Senegal, Arab Saudi dan Iran.

Selain enam negara tersebut, beberapa pasukan lain turut diperkuat oleh pemain Muslim, antaranya Mesut Oezil yang mewakili Jerman, Paul Pogba (Perancis), Maraoune Fellaini (Belgium) dan Granit Xhaka (Switzerland).

Begitupun, Aidilfitri bukanlah terlalu asing di Rusia. Negara itu sendiri mempunyai ramai penduduk Islam yang akan merayakannya. Sekitar tujuh peratus daripada 145 juta masyarakat Rusia beragama Islam.

Antara lokasi tumpuan penduduk berhari raya di negara pimpinan Vladimir Putin itu ialah Masjid Katedral Moscow, yang terletak tidak jauh dari Stadium Luzhniki, venue perlawanan pembukaan antara Rusia dan Arab Saudi.

Bagaimanapun, kemeriahan Piala Dunia dan hari raya tidak seharusnya menenggelamkan segala kebaikan yang dilakukan pada bulan Ramadan.

Seiring dengan berlalunya Ramadan, banyak pelajaran, hikmah dan kelebihan yang dapat dijadikan pedoman dalam mengharungi kehidupan pada hari-hari mendatang.

Ramadan boleh diibaratkan sebuah madrasah, yang memberi latihan fizikal dan mental hampir 14 jam sehari bermula dari terbitnya fajar hingga terbenamnya matahari. Ramadan menjadikan manusia lebih pemurah untuk bersedekah dan mudah melakukan ibadah lain se­perti membaca al-Quran dan solat malam.

Begitupun, kejayaan sebenar madrasah Ramadan bukan dinilai dengan kemampuan menahan lapar dan dahaga pada bulan tersebut sahaja, sebaliknya diukur berdasarkan kejayaan mengekalkan amal ibadah berkenaan pada bulan-bulan pasca-Ramadan.

Malang sekali jika semangat Ramadan tersebut lebur pada hari pertama Syawal lagi.

Apakah yang menahan kaki kita tidak mahu melangkah ke masjid? Apakah yang menahan kepala segelintir daripada kita sehingga tidak mahu bersujud di hadapan Allah?

Apakah yang menahan lidah kita sehingga kaku dan kelu mengucapkan zikir sebaliknya lebih gemar me­ngungkapkan kata-kata dusta dan menyakitkan hati?

Hanya kerana godaan syaitan dan nafsu, ramai manusia kehilangan fitrahnya, berubah menjadi makhluk yang kehilangan cinta, menjadi pembenci, pendengki dan pendendam kepada sesama manusia.

Kemeriahan hari raya dan Piala Dunia juga jangan sampai menyebabkan kita lupa terhadap saudara se-Islam di Palestin, Syria dan Myanmar yang ditimpa musibah. Kita juga tidak dapat menafikan fakta bahawa masalah kemiskinan masih menghimpit ramai umat Islam di seluruh dunia.

Hanya segelintir negara Islam yang cukup makmur ekonominya. kemakmuran tersebut pula disebabkan sumber alam seperti minyak, yang lambat laun akan kehabisan.

Selebihnya, kebanyakan negara Islam lain majoriti penduduknya berada di bawah paras kemiskinan. Ini termasuk Pakistan, Sudan, Mesir, Bangladesh dan Afghanistan.

Dengan kata lain, apakah kita tergamak bergembira menonton bola Piala Dunia pada hari lebaran ini, sementara saudara-saudara kita di bahagian lain di bumi ini hidup bersimbah darah dan air mata?