Malaysia merupakan antara negara mencatatkan jumlah penduduk memiliki telefon pintar tertinggi dengan menduduki tempat ke-10 di dunia.

Berdasarkan kaji selidik firma Pew Research Center tahun lalu, Malaysia merupakan antara negara tertinggi pemilikan gajet dengan mencatatkan kadar penembusan mencapai 65 peratus.

Maka tidak hairanlah portal-portal berita di Malaysia kini berlambak. Ramai yang berminat untuk membuka portal berita kerana tidak memerlukan modal besar.

Cukuplah sekadar memiliki telefon pintar dilengkapi kemudahan internet sebagai asas, mereka sudah boleh menyebarkan kebanyakan berita yang dikutip daripada sumber-sumber lain seperti firma media yang berdaftar.

Terdapat portal berita juga menjadikan netizen sebagai wartawan segera sebagai sumber walaupun maklumat yang disampaikan itu kebanyakannya sekadar khabar angin.

Masing-masing berlumba-lumba siapa yang lebih pantas dan menjadi orang pertama menyebar maklumat supaya portal berita mereka akan mendapat sambutan atau hits yang tinggi.

Sasaran utama adalah untuk menarik minat syarikat pengiklanan mempromosikan perkhidmatan atau produk di portal berita mereka sekali gus mendatangkan pendapatan yang lumayan.

Bagaimanapun, bukan mudah membuat keuntungan kerana sesebuah portal berita yang baru dibuka memerlukan sekurang-kurangnya enam bulan untuk dikenali ramai sekali gus dapat menarik iklan.

Ketika ini, portal-portal berita menyajikan bahan-bahan yang lebih kurang sama antara satu sama lain. Beza­nya adalah kepantasan dalam menyalurkan maklumat serta keberanian melaporkan sesuatu yang belum tentu sahihnya.

Bagi portal berita yang dibiayai pihak-pihak berkepen­tingan untuk tujuan tertentu, mereka tidak perlu peningkan kepala kerana pihak terlibat akan menyalurkan wang bagi menjalankan operasi.

Namun, portal-portal sebegini sukar bertahan lama andai mereka tidak mempunyai perancangan jangka panjang jika pihak berkepentingan itu tidak lagi membiayai wang.

Ini antara cabaran besar yang perlu ditempuh pengendali portal-portal berita di negara ini untuk bersaing sesama mereka dalam dunia tanpa sempadan.

Berbeza pula dengan industri media cetak yang kini terpaksa bertarung dalam memastikan survivalnya.

Peralihan pembaca akhbar kepada mengakses bahan berita secara online menerusi telefon pintar adalah cabaran utama yang perlu ditempuh.

Sekarang tiada lagi istilah pembaca setia, mana-mana akhbar yang berjaya menghasilkan berita eksklusif serta berinformasi akan dipilih pembaca sekali gus mempengaruhi survivalnya.

Industri media cetak tidak dapat menjadi ‘seberani’ portal berita kerana masih terikat dengan peraturan yang diibaratkan tembok batu.

Setiap bahan berita perlu ditapis dan mendapat pengesahan pihak berwajib terlebih dulu bagi memastikan tiada implikasi undang-undang.

Berbeza dengan portal berita, jika mereka melakukan kesilapan, hanya perlu membuat pembetulan atau menarik semula bahan berita itu dalam tempoh yang singkat.

Sebagai contoh, berita perkahwinan bekas Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V sebelum ini tersebar luas di beberapa portal berita tanpa mendapatkan pengesahan daripada pihak berwajib.

Cerita ini tidak dimainkan media cetak sehinggalah Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri menyatakan beliau juga tidak mengetahui tentang kisah perkahwinan itu.

Bagi penulis, media cetak sebenarnya masih mempunyai keberanian untuk melaporkan sesuatu perkara yang tidak sahih tetapi dirasakan benar namun ia perlu dilaporkan secara beretika dan bijak.

Media cetak ibarat mempunyai tembok batu di hadapannya namun selagi mana ia boleh ditolak, ditolak dan ditolak sehinggalah berhenti, maka itu adalah hadnya yang perlu dipatuhi.