Ketika itu, pendidikan universiti merupakan jalan dominan ke arah masa depan lebih baik sekali gus pintu keluar daripada belenggu kemiskinan.

Menara gading pula adalah pasport bagi mendapatkan jawatan bergaji besar dan dihormati seperti jurutera, guru, peguam, majistret dan kemuncak­nya, doktor.

Seingat penulis, belum pernah penulis de­ngar orang tua memberi nasihat supaya bermain bola atau bermain gitar bersungguh-sungguh bagi menjamin masa depan. Nasihat tersebut bukanlah jumud lantaran ketika itu, orang Melayu yang hidup ‘senang’ terdiri daripada profesional tersebut. Lantas, dialog dalam filem Ibu Mertuaku: “Siapa dia Kassim Selamat, lawyer, majistret?” ada benarnya.

Bagaimanapun, 20 tahun kemudian ketika mereka yang seusia penulis pula bergelar ibu dan bapa, paradigma juga berubah. Walaupun pendidikan universiti masih lagi diutamakan, golongan ibu bapa lebih terbuka kepada bakat anak-anak.

Pada era 90-an juga, semakin ramai ibu bapa menjadi pembimbing kepada anak-anak mereka untuk meneroka bidang yang mereka gemari dan berbakat melakukannya.

Contohnya, Allahyarham Datuk Sidek Abdullah Kamar melahirkan bintang badminton berbakat besar terutamanya Jailani dan abangnya Misbun. Pada era tersebut masyarakat mula membuka mata kepada bidang sukan sebagai kerjaya yang menjamin masa depan.

Sukan seperti badminton, tenis, bola sepak, permotoran dan golf menawarkan ha­diah wang tunai mencecah jutaan ringgit untuk pemain profesional yang bergelar juara. Jika dibandingkan pegawai kerajaan yang memiliki gaji RM5,000 ke atas mengambil masa perkhidmatan selama beberapa puluh tahun barulah gaji terkumpul mereka mencecah sejuta ringgit.

Pada era tahun 2000 pula du­nia kian berubah. Di kawasan tempat tinggal penulis ada remaja yang membeli motosikal dan menyara diri sendiri walaupun tiada kerja tetap.

Ada antara mereka mempunyai klip video membuat ulasan mengenai produk kecantikan, vape dan bermacam lagi. Mereka ini mendapat wang daripada laman perkongsian video YouTube dan Instagram.

Penulis juga terfikir mungkin subjek kemahiran menggunakan media sosial untuk menjana wang boleh dijadikan mata pelajaran yang diajar di sekolah-sekolah.

Terbaharu, seorang remaja Amerika Syarikat (AS), Kyle Giersdorf me­nerima wang hadiah AS$3 juta (RM12.4 juta) selepas memenangi kejohanan permainan video Fortnite sekali gus bergelar jutawan pada usia 16 tahun.

Dalam satu temu bual, Giersdorf berkata, dia bercita-cita menjadi pemain permainan video profesio­nal sejak lama dahulu. Remaja itu memberitahu, dia bermain permainan video seawal usia tiga tahun dan berlatih selama enam jam sehari sebelum menyertai kejohanan itu yang disertai 40 juta pemain lain. Selain Fornite, banyak permainan video lain yang menawarkan ganjaran lumayan se­perti Dota 2, Counter-Strike: Global Offensive dan League of Legions. Mungkin sedikit masa lagi tanggapan bahawa permainan video sebagai tidak berfaedah juga akan berubah.

Natijahnya, paradigma ibu bapa tentang minat anak-anak perlu diubah. Ibu bapa perlu berfikiran lebih terbuka dan memupuk kemahiran dan minat anak mereka walaupun ia adalah di luar skop pem­belajaran.